📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan inisiatif Biasiswa Endowmen yang telah memberi manfaat kepada 1,000 pelajar sejak 2019 dengan jumlah sumbangan melebihi RM4 juta. Penganjuran Majlis Penyampaian Biasiswa Endowmen bagi sesi 2025/2026 telah berlangsung di UTM Johor Bahru dan telah mengiktiraf 54 pelajar sebagai penerima biasiswa. Jumlah keseluruhan penerima biasiswa UTM telah mencapai 1,000 orang, dengan 245 pelajar masih aktif, 280 telah menamatkan pengajian, dan 475 telah bergraduan.
JOHOR BAHRU, 31 Mac – Dalam usaha berterusan memperkukuh kebajikan pelajar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melakar impak melalui inisiatif Biasiswa Endowmen yang telah memberi manfaat kepada seramai 1,000 pelajar sejak tahun 2019, dengan jumlah sumbangan melebihi RM4 juta.
Momentum ini diteruskan melalui penganjuran Majlis Penyampaian Biasiswa Endowmen (BE) bagi sesi 2025/2026 yang berlangsung pada 31 Mac 2026 di Dewan Astaka, Kolej Tuanku Canselor, UTM Johor Bahru. Majlis tersebut disempurnakan oleh Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Robiah Suratman, Pengarah Endowmen UTM, serta dihadiri Azri Hohad, Ketua Pentadbiran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), barisan dekan fakulti dan para penyumbang yang menjadi tulang belakang kepada kelangsungan inisiatif ini.
Seramai 54 pelajar diraikan sebagai penerima biasiswa bagi sesi 2025/2026, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penerima Biasiswa Endowmen UTM mencecah 1,000 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 245 pelajar masih aktif, 280 telah menamatkan pengajian, manakala 475 orang telah bergraduan.
Sejak tahun 2019, jumlah keseluruhan dana endowmen yang disalurkan melebihi RM4 juta, mencerminkan impak besar sumbangan para penyumbang dalam membantu pelajar meneruskan pengajian. Antara biasiswa utama termasuk Biasiswa Endowmen Merdeka UTM, Biasiswa Endowmen Azman Hashim, Biasiswa Endowmen Al-Bukhary, Biasiswa Endowmen Azman Hashim (Kategori Cemerlang), Biasiswa Endowmen Azman Hashim (Kategori B40), Biasiswa Endowmen Azman Hashim (Kecemerlangan Sukan), Biasiswa Endowmen Alumni UTM, Biasiswa Endowmen Persatuan Alumni UTM, serta tajaan individu seperti Biasiswa Endowmen Daing Abdul Rahman Daing Mohamad, Biasiswa Endowmen Zainab Baba dan Biasiswa Endowmen Khairi Consult Sdn. Bhd.



Penganjuran majlis ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan pelajar, malah menjadi simbol penghargaan kepada para penyumbang yang terus komited menyokong agenda pendidikan universiti, di samping memperkukuh hubungan strategik antara universiti, industri dan komuniti alumni.
Menurut salah seorang penerima biasiswa, Weasley, beliau meluahkan rasa syukur atas peluang yang diberikan. “Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak universiti serta para penyumbang atas sokongan melalui Biasiswa Endowmen ini. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menjadi sumber motivasi untuk saya terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajian. Saya bertekad memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan suatu hari nanti ingin menyumbang kembali kepada masyarakat,” ujarnya.
Dengan pencapaian ini, UTM terus membuktikan peranannya sebagai institusi yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah prihatin terhadap kebajikan dan masa depan pelajarnya. Seiring aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasa akses pendidikan yang inklusif dan mampan, inisiatif endowmen ini menjadi pemangkin penting bagi memastikan tiada pelajar tercicir akibat kekangan kewangan, sekali gus melahirkan graduan holistik yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban, malah menyemai harapan bahawa setiap pelajar berhak untuk berjaya dan setiap sumbangan mampu mengubah masa depan.