FAI UTM perkukuh inovasi AI melalui demonstrasi robotik pintar di Karnival JMU 2026 Zon Selatan

SDGSDG4SDG8SDG9SDG17

📝 Ringkasan

Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memperkukuh agenda pembangunan bakat dan inovasi dalam bidang kecerdasan buatan melalui demonstrasi robotik pintar sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Selatan. Demonstrasi robot anjing pintar Deep Robotics Lite3 yang dikendalikan oleh dua pelajar tahun kedua Sarjana Muda Kecerdasan Buatan telah menarik perhatian pengunjung dan memperlihatkan keupayaan teknikal merentas bidang. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pembangunan kecerdasan buatan berasaskan fizikal atau embodied AI dan melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu mengendalikan teknologi canggih.

JOHOR BAHRU, 18 April – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda pembangunan bakat dan inovasi dalam bidang kecerdasan buatan melalui penglibatan aktif pelajar dalam demonstrasi robotik pintar sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Selatan.

Majlis perasmian Karnival JMU 2026 Zon Selatan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub. Dalam acara gimik perasmian tersebut, dua pelajar tahun kedua Sarjana Muda Kecerdasan Buatan, Mohamad Khamsah Mohamad Nafis dan Muhammad Farkhin Abd Baser, berjaya mengendalikan demonstrasi robot anjing pintar Deep Robotics Lite3 dengan cemerlang.

Gimik perasmian JMU 2026 dengan robot anjing pintar Deep Robotics Lite3

Demonstrasi ini dilaksanakan secara sinergi bersama pasukan UTM Robocon yang turut menampilkan robot ciptaan pelajar dalam satu persembahan bersepadu berteknologi tinggi. Kolaborasi ini bukan sahaja memperlihatkan keupayaan teknikal merentas bidang, malah menonjolkan kekuatan ekosistem robotik dan kecerdasan buatan di UTM.

Persembahan gimik perasmian berteknologi tinggi dilaksanakan secara sinergi bersama pasukan UTM Robocon
Pasukan FAI UTM dan UTM Robocon selepas menjayakan gimik perasmian JMU 2026 Zon Selatan

Robot anjing pintar tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara FAI UTM dan rakan industri dari China, Hangzhou Linktron Smart Education Technology Co. Ltd. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pembangunan kecerdasan buatan berasaskan fizikal atau embodied AI, iaitu cabang kecerdasan buatan yang mengintegrasikan keupayaan persepsi, pergerakan fizikal dan interaksi dalam persekitaran sebenar. Usaha ini selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu mengendalikan teknologi canggih serta menyumbang kepada ekosistem inovasi negara.

Demonstrasi robot anjing pintar menarik perhatian pengunjung, khususnya pelajar sekolah, dalam memupuk minat terhadap bidang kecerdasan buatan dan robotik

Penglibatan pelajar dalam platform berskala nasional seperti JMU memberikan pendedahan awal kepada aplikasi dunia sebenar, di samping meningkatkan keyakinan serta kemahiran teknikal dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan. Demonstrasi yang dipamerkan turut menjadi medium efektif dalam memperkenalkan keupayaan FAI UTM kepada bakal pelajar dan masyarakat umum.

Pensyarah bersama dua pelajar Sarjana Muda Kecerdasan Buatan yang mengendalikan robot anjing pintar Deep Robotics Lite3

Secara keseluruhan, penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan FAI UTM dalam memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan, sekali gus memperkukuh kedudukan universiti sebagai peneraju dalam bidang kecerdasan buatan dan teknologi masa hadapan.

Oleh Dr. Mohd Azri Mohd Izhar dan Prof. Madya Dr. Suriayati Chuprat

Explore More

UTM Open Day