Delegasi KTC UTM pamer inovasi mampan di Earth Mini Carnival 2026 Universiti Malaya

SDGSDG4SDG11SDG15

📝 Ringkasan

Delegasi Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar melalui penglibatan aktif dalam program Earth Mini Carnival (EMC) 2026. Mereka telah mempamerkan inovasi mampan dan kitar semula, termasuk penggunaan perabot mesra alam dan barangan hiasan yang digerakkan oleh tenaga solar. Program ini telah meningkatkan kesedaran awam dan imej UTM sebagai universiti mampan di peringkat kebangsaan.

KUALA LUMPUR, 18 April – Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP), Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyerlahkan komitmen tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar melalui penglibatan aktif dalam program Earth Mini Carnival (EMC) 2026. Program kolaborasi strategik bersama Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya (UM) ini telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Gemilang Kurshiah.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Prof. Madya Dr. Roshidah Hassan. Kehadiran delegasi KTC UTM yang diketuai oleh Pengarah Program, Poreena Sawaridass, membawa misi besar dalam mempromosikan gaya hidup mampan dan inovasi kitar semula.

Pengarah Program KTC UTM, Poreena Sawaridass (kiri), menyampaikan cenderamata kepada Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Prof. Madya Dr. Roshidah Hassan (kanan), diiringi Pengarah Program Earth Mini Carnival Universiti Malaya, Isma Adlina Ismail (tengah), semasa sesi penghargaan
Penyampaian hadiah penghargaan kepada Affan Nasaruddin (kanan) daripada Universiti Malaya Sustainable Development Centre (UMSDC) oleh Poreena Sawaridass (kiri), diiringi Pembantu Felo Penasihat, Muhammad Syazwan Mohd Zaironi (tengah)

Reruai pameran JKP KTC menjadi tumpuan utama pengunjung dengan konsep “Low Carbon”. Keunikan pameran ini terletak pada penggunaan perabot mesra alam, iaitu kerusi yang diperbuat daripada buluh asli yang diperkukuhkan dengan botol plastik kitar semula berisi pasir untuk kestabilan optimum.

Pasukan KTC turut mempamerkan barangan hiasan yang digerakkan sepenuhnya oleh tenaga solar, melambangkan aplikasi teknologi hijau dalam kehidupan seharian. Segala peralatan pameran merupakan hasil sokongan Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS).

Bagi meningkatkan kesedaran awam, lima orang krew pameran telah ditugaskan untuk memberi penerangan mendalam mengenai Blueprint KTC dan Laporan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kepada para pelawat. Berbekalkan risalah rasmi, mahasiswa UTM berjaya menterjemahkan aspirasi kelestarian universiti kepada komuniti luar, sekali gus meningkatkan imej UTM sebagai universiti mampan di peringkat kebangsaan.

Selain pameran, peserta KTC UTM turut menyertai pertandingan Rekacipthird, sebuah platform inovasi yang mencabar peserta menghasilkan busana daripada 100 peratus bahan kitar semula seperti surat khabar, kotak telur dan botol. Semangat kerjasama turut dipupuk melalui aktiviti Earthplorace, di mana setiap titik semak menguji kefahaman peserta terhadap SDG.

Pasukan Rekacipthird bergambar bersama Ts. Dr. Syamsul Hendra Mahmud (tengah) selepas membentangkan hasil kerja mereka
Sesi pameran interaktif di reruai JKP Kolej Tuanku Canselor UTM

Penglibatan dalam EMC 2026 ini telah memberikan impak yang menyeluruh kepada delegasi KTC UTM. Dari sudut transformasi minda, peserta kini lebih proaktif dalam mempraktikkan amalan kitar semula dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Program ini turut berjaya memindahkan ilmu kelestarian KTC kepada komuniti UM dan pelawat luar, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama antara kedua-dua universiti dalam agenda kelestarian masa hadapan.

Lebih penting, pengalaman ini telah mengasah bakat mahasiswa sebagai ejen perubahan yang peka terhadap isu tenaga global dan pengurusan sisa.

“Kami ingin membuktikan bahawa sisa terbuang dan sumber alam seperti buluh boleh diinovasikan menjadi sesuatu yang berfungsi dan estetik. Impak sebenar program ini adalah apabila mahasiswa pulang dengan kesedaran bahawa peranan belia sangat krusial dalam kelestarian alam sekitar,” ujar Poreena Sawaridass, pengarah program.

Kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa UTM sentiasa berada di hadapan dalam memacu inovasi mampan, selaras dengan aspirasi kelestarian global dan hala tuju universiti ke arah masa depan yang lebih lestari.

Explore More

UTM Open Day