📝 Ringkasan
Program STI 100³ (Sains, Teknologi dan Inovasi: 100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari) telah berjaya dijalankan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Gas Engineering Students’ Society (GESS). Program ini bertujuan memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah. Seramai 167 pelajar Tingkatan 3 SMK Pulai Jaya bersama tujuh orang guru pengiring terlibat dalam program ini. Mereka telah mendapat pendedahan awal tentang aplikasi sebenar ilmu kejuruteraan dan sains melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
JOHOR BAHRU, 14 April – Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) dengan kerjasama Gas Engineering Students’ Society (GESS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menganjurkan Program STI 100³ (Sains, Teknologi dan Inovasi: 100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari) menerusi inisiatif Program Jurutera Muda @ UTM.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah. Melalui pelantikan saintis serta sokongan dana daripada MOSTI, program ini membawa kepakaran saintis secara langsung ke peringkat sekolah bagi melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran serta berdaya saing dalam bidang STEM.
Program ini turut melibatkan penyertaan aktif seramai 12 pelajar daripada GESS, enam pelajar pascasiswazah serta 26 orang fasilitator makmal yang terdiri daripada pensyarah, staf makmal dan pegawai penyelidik. Penglibatan pelbagai lapisan warga akademik ini bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan program, malah memberikan pendedahan menyeluruh kepada pelajar sekolah tentang persekitaran sebenar pembelajaran dan penyelidikan di universiti.
Program yang berlangsung di FKT UTM ini merupakan siri ketiga daripada tiga siri program yang telah dianjurkan di bawah kendalian Dr. Asiah Nusaibah Masri. Siri ini merupakan kesinambungan daripada aktiviti terdahulu, iaitu program pertama berbentuk forum bertajuk “Future Starts Now: Aku Pilih Jalan Mana?” yang menampilkan tiga panel pensyarah FKT.
Seterusnya, program kedua iaitu Water Filter Innovation Challenge telah dilaksanakan di SMK Pulai Jaya. Bagi edisi ketiga ini, program memfokuskan kepada pendedahan praktikal di makmal universiti dengan membuka peluang kepada pelajar Tingkatan 3 SMK Pulai Jaya untuk merasai sendiri pengalaman menjalankan eksperimen serta memahami aplikasi sebenar konsep STEM.

Seramai 167 pelajar Tingkatan 3 SMK Pulai Jaya bersama tujuh orang guru pengiring terlibat dalam program ini. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai aplikasi sebenar ilmu kejuruteraan dan sains melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti makmal, pelajar dapat memahami konsep teori dengan lebih jelas serta membina minat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan pada masa hadapan. Program ini turut mendapat sokongan daripada Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) yang telah menaja barangan dan bahan yang digunakan sepanjang pelaksanaan eksperimen.
Majlis dimulakan dengan sesi perasmian yang merangkumi ucapan wakil daripada SMK Pulai Jaya, Siti Nur Rahmah Kasmon, Penolong Kanan Petang, yang menzahirkan penghargaan kepada pihak UTM khususnya FKT atas peluang yang diberikan kepada para pelajar untuk mendapatkan pengalaman pembelajaran di universiti. Turut hadir ialah Guru Kanan Mata Pelajaran Sains dan Matematik SMK Pulai Jaya, Mohd Azrul Iza Abu Bakar, serta Sukina Ahmad selaku guru penyelaras STEM sekolah tersebut.
Seterusnya, majlis dirasmikan oleh Dekan FKT, Prof. Dr. Mat Uzir Wahit, yang menekankan kepentingan pendedahan awal kepada bidang kejuruteraan dalam membentuk generasi masa depan yang berdaya saing. Majlis turut diserikan dengan sesi pertukaran cenderamata antara pihak FKT UTM dan SMK Pulai Jaya sebagai tanda penghargaan dan simbol jalinan kerjasama yang erat antara kedua-dua pihak.


Program diteruskan dengan sesi taklimat oleh Dr. Nur Syazwani Mohd Ali yang memberikan penerangan mengenai aktiviti lawatan makmal serta eksperimen yang akan dijalankan sepanjang program. Para pelajar kemudiannya dibahagikan kepada enam kumpulan untuk menjalani aktiviti secara bergilir di enam makmal berbeza. Antara eksperimen yang dijalankan ialah eksperimen penghasilan biodiesel, eksperimen perambatan api, eksperimen pembuatan membran, eksperimen pengesanan sinaran, eksperimen hukum termodinamik dan eksperimen pelarut eutektik dalam.

Majlis penutup diakhiri dengan sesi rumusan daripada wakil pelajar bagi setiap eksperimen serta penyampaian hadiah sebagai tanda penghargaan atas penyertaan aktif pelajar sepanjang program.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap dunia kejuruteraan serta menyemai minat mereka untuk menceburi bidang STEM pada masa hadapan. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat diteruskan secara berterusan bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran industri pada masa hadapan, sekali gus menyokong agenda pembangunan negara berteraskan sains dan teknologi.