📝 Ringkasan
Program BioSchool 2.0 telah berjaya melahirkan pelajar yang lebih peka terhadap isu keselamatan makanan dan alam sekitar. Sebanyak 16 buah sekolah dari seluruh negeri Johor telah menyertai program ini yang menampilkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam bidang pertanian bandar serta amalan makanan lestari. Program ini berteraskan tema “Creating a World Free of Hunger 2030” dan merupakan hasil kerjasama antara beberapa pihak termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
KULAI, 25 April — Sebanyak 16 buah sekolah dari seluruh negeri Johor telah menyertai program BioSchool 2.0 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu selaku penganjur utama program yang menampilkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam bidang pertanian bandar serta amalan makanan lestari.
Program yang mengetengahkan pertandingan projek tanaman Shōri no Niwa serta pameran kelestarian ini berteraskan tema “Creating a World Free of Hunger 2030”, sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2 iaitu Sifar Kelaparan. Program ini merupakan hasil kerjasama antara Kumpulan Penyelidikan TropicalMap, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), SMK Bukit Batu dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam usaha memperkukuh pendidikan kelestarian serta memupuk penglibatan komuniti dalam kalangan pelajar melalui inovasi, teknologi dan penjagaan alam sekitar.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah SPNB Johor, Irwan Sharifuddin, yang turut meluangkan masa melawat reruai pameran dan berinteraksi bersama para pelajar. Beliau menegaskan komitmen berterusan SPNB dalam menyokong program berkaitan kelestarian selaras dengan aspirasi pembangunan mampan negara, khususnya dalam memperkukuh jaminan keselamatan makanan dan kesejahteraan komuniti.
Program ini digerakkan berlandaskan konsep BioSchool, di mana “BIO” membawa maksud Balance (Keseimbangan), Innovation (Inovasi) dan Outreach (Jangkauan), yang menekankan keseimbangan antara ilmu dan alam sekitar, penerapan inovasi hijau serta penglibatan komuniti dalam amalan kelestarian.
Pertandingan Shōri no Niwa telah dijalankan selama enam bulan sejak tahun lalu, memberi peluang kepada sekolah-sekolah peserta membangunkan dan menambah baik projek masing-masing secara berperingkat. Konsep ini diinspirasikan daripada idea Victory Garden Jepun yang memfokuskan kepada pertanian bandar mampan menggunakan ruang terhad serta bahan kitar semula.
Penilaian projek dilaksanakan berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk penanaman sayur-sayuran dan herba, integrasi elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), amalan kelestarian seperti ekonomi kitaran, nilai pendidikan dalam kelestarian makanan, nilai estetika serta penggunaan teknologi digital melalui aplikasi GeoTrees bagi tujuan perekodan dan analisis data tanaman.

Sebagai sebahagian daripada proses pemantauan, lawatan tapak telah dijalankan sepanjang bulan Mac dan April 2026 melibatkan wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dikenali sebagai Major UPSI, yang melawat semua sekolah peserta bagi menilai perkembangan projek serta memberikan penilaian awal sebelum sesi penghakiman akhir.
Melalui pendekatan pemindahan teknologi tersebut, aplikasi GeoTrees telah diperkenalkan sebagai medium digital bagi membantu pelajar merekod, memantau dan menganalisis data pokok serta tanaman secara sistematik. Penggunaan GeoTrees membolehkan pelajar mengaplikasikan konsep STEM dalam situasi dunia sebenar melalui penandaan pokok berasaskan kedudukan koordinat, pencatatan pertumbuhan pokok dan dokumentasi kebun sekolah secara digital. Pendekatan ini mencerminkan usaha UTM dalam memindahkan kepakaran teknologi kepada masyarakat melalui pendidikan berteraskan kelestarian dan inovasi hijau.

Selain pertandingan utama, beberapa sekolah turut mengambil bahagian dalam pameran BioSchool dengan mempamerkan produk berasaskan kelestarian dan ekonomi kitaran. Antaranya termasuk SMK Kulai Besar dengan projek Natural Touch, SMK Taman Kota Kulai dengan DIY Bird Feeder, SMK Taman Scientex dengan BIOPAW, Decorative Recycled Paper (DRP) dan Berrycha, serta SK Seri Pandan dengan produk Telur Masin Pandan.
Dalam pertandingan utama, Sekolah Kebangsaan (SK) (P) Sultan Ibrahim telah dinobatkan sebagai juara, diikuti SK Parit Kudus di tempat kedua dan SMK Kulai Besar di tempat ketiga. Beberapa anugerah khas turut disampaikan, antaranya Anugerah Guru Mentor Terbaik dan Anugerah Integrasi STEM Terbaik kepada SK Parit Kudus, manakala SK (P) Sultan Ibrahim menerima Anugerah Rekod GeoTrees Terbaik. SMK Pasir Gudang 3 pula membawa pulang Anugerah BioSchool Rising Star.


Program BioSchool 2.0 secara keseluruhannya berjaya membuktikan bahawa pendidikan kelestarian yang bermakna bermula daripada bilik darjah dan kebun sekolah. Melalui gabungan inovasi, teknologi dan semangat kesukarelawanan, program ini bukan sahaja melahirkan pelajar yang lebih peka terhadap isu keselamatan makanan dan alam sekitar, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, industri dan komuniti sekolah. Diharapkan inisiatif seperti BioSchool 2.0 dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi turut menjadi agen perubahan dalam merealisasikan impian dunia bebas kelaparan menjelang tahun 2030.