Program TajaMereka UTM santuni 250 peserta OKU penglihatan sempena iftar Ramadan

SDGSDG4SDG10SDG17

📝 Ringkasan

Program TajaMereka UTM telah berjaya menyantuni 250 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sempena iftar Ramadan. Program ini disasarkan untuk 200 peserta tetapi mendapat sambutan yang menggalakkan dengan 250 peserta hadir. Program ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya hasil sumbangan warga UTM berjumlah RM4,600.

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya terhadap penglibatan komuniti menerusi penganjuran Program TajaMereka: Iftar Ramadan untuk komuniti OKU penglihatan yang telah berlangsung di Dewan Malaysian Association for the Blind (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur.

Program yang digerakkan menerusi kerjasama Budi Penyayang dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM Kuala Lumpur bersama Kindness Malaysia ini menjadi manifestasi nyata nilai-nilai Ramadan yang menekankan ketakwaan, empati, kebersamaan dan tanggungjawab sosial. Selaras dengan amanat Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Ramadan bukan sahaja mendidik jiwa melalui ibadah, malah membentuk warga universiti yang berintegriti, prihatin dan sentiasa bersedia menyumbang kepada komuniti.

Sukarelawan UTM menyantuni peserta OKU penglihatan dengan penuh empati dan keprihatinan sepanjang majlis iftar berlangsung di Dewan MAB, Brickfields

Program ini pada asalnya disasarkan untuk 200 peserta yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila seramai 250 peserta hadir memeriahkan majlis. Daripada jumlah tersebut, 40 orang merupakan pelajar OKU yang sedang mengikuti latihan kemahiran dan persediaan kerjaya seperti operator telefon, tukang urut serta bidang lain yang bersesuaian, manakala selebihnya terdiri daripada komuniti OKU penglihatan yang hadir dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Lebih membanggakan, program ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya hasil sumbangan warga UTM berjumlah RM4,600, termasuk sumbangan individu tertinggi sebanyak RM2,000. Keseluruhan pembiayaan program adalah daripada UTM sendiri, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan yang kukuh dalam kalangan warga universiti. Warga UTM yang terdiri daripada staf beserta keluarga dan para pelajar turut menyumbang bakti sebagai sukarelawan bagi program yang penuh bermakna ini.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan, termasuk Simon Says, Teka Barang dalam Kotak, Sambung Cerita dan Sambung Ayat al-Quran, yang mendapat sambutan amat baik daripada kanak-kanak dan ibu bapa. Aktiviti Toys Buffet turut menjadi tarikan utama dan menerima sambutan yang sangat menggalakkan. Penyertaan aktif para peserta dalam setiap aktiviti memperlihatkan suasana yang ceria, inklusif dan penuh penghargaan terhadap potensi serta kemampuan komuniti OKU penglihatan.

Suasana ceria dan inklusif sepanjang aktiviti interaktif bersama kanak-kanak yang turut memeriahkan Program TajaMereka sempena Ramadan

Di sebalik kemeriahan program, pengalaman menyantuni para peserta turut memberi kesan mendalam kepada sukarelawan yang terdiri daripada pelajar, staf dan keluarga FSSH UTM Kuala Lumpur. Para peserta dilaporkan hadir seawal jam 4 petang dan menunggu dengan penuh tertib di meja masing-masing sebelum majlis berbuka dimulakan. Sepanjang program, sukarelawan bersama-sama menghidang makanan dan berkomunikasi secara peka serta berhemah bagi memastikan setiap peserta mendapat layanan yang selesa.

Penganjuran program ini memperlihatkan bagaimana UTM bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan tinggi yang menekankan kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah turut berfungsi sebagai institusi yang aktif membina kesejahteraan sosial melalui jaringan kerjasama dengan komuniti dan organisasi masyarakat. Semangat sinergi antara universiti, sukarelawan, rakan strategik dan masyarakat inilah yang menzahirkan aspirasi UTM sebagai institusi yang sentiasa mengutamakan kemanusiaan dalam setiap gerak kerjanya.

Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Kindness Malaysia, Budi Penyayang, seluruh warga FSSH UTM Kuala Lumpur, para penyumbang serta semua pihak yang telah memberikan sokongan, sumbangan dan tenaga dalam menjayakan program ini. Penghargaan khas turut diberikan kepada para penyumbang alatan permainan untuk Toys Buffet daripada warga FSSH UTM Kuala Lumpur yang budiman.

Program TajaMereka membuktikan bahawa penghayatan Ramadan dalam kalangan warga universiti dapat diterjemahkan melalui tindakan yang menyantuni masyarakat secara langsung. Usaha sebegini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memperkukuh peranan UTM dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti, sejajar dengan gagasan Kerana Tuhan Untuk Manusia dan aspirasi universiti dalam menginovasi penyelesaian lestari untuk masyarakat.

Warga UTM bersama rakan strategik dan peserta bergambar kenangan sempena Program TajaMereka yang berlangsung di Dewan MAB, Brickfields, Kuala Lumpur

Explore More

UTM Open Day