February 8, 2026

UTM salur kepakaran bernilai RM0.8 Juta perkasa Sekolah Rintis Bangsa Johor

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyumbang RM877,000 dalam bentuk kepakaran bukan tunai untuk membantu Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ). Sumbangan ini merangkumi khidmat perundingan, analisis data, kajian dan lain-lain. UTM juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dalam mencipta model sekolah masa depan yang menekankan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah dan kesiapsiagaan murid menghadapi cabaran global.

JOHOR BAHRU, 3 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan pendidikan negeri Johor melalui penyaluran sumbangan kepakaran bukan tunai (in-kind) bernilai RM877,000 bagi menyokong pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

Komitmen tersebut dizahirkan sempena lawatan rasmi Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, yang turut disertai Majlis Penyerahan Replika Cek sebagai simbolik sumbangan UTM kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ). Penyerahan replika cek itu disampaikan kepada Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran JPNJ, Haji Noor Rahilme Mohamed Noor yang mewakili Pengarah Pendidikan Johor.

Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry menyerahkan replika cek sumbangan kepakaran UTM kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Haji Noor Rahilme Mohamed Noor, sempena lawatan rasmi ke SMK Tasek Utara

Dalam ucapannya, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry berkata, “Replika cek yang diserahkan hari ini menunjukkan komitmen UTM dalam melaksanakan tanggungjawab dan kewajipannya sebagai sebuah institusi pendidikan yang sentiasa komited dalam menginovasi penyelesaian lestari kepada masyarakat, khasnya masyarakat di sekitar UTM.”

Beliau menjelaskan bahawa nilai sumbangan in-kind sebanyak RM877,000 itu merujuk kepada kepakaran dan masa pakar pendidikan UTM dalam pembangunan SRBJ. Sumbangan tersebut merangkumi khidmat perundingan, analisis data, kajian, penyediaan laporan, kursus latihan, pemantauan dan pencerapan kelas, lawatan sekolah serta penyeliaan dan penilaian pengajaran dan pemudahcaraan guru.

“UTM memainkan peranan dalam mencari penyelesaian melalui penyelidikan ke arah transformasi pendidikan secara menyeluruh, dengan penekanan terhadap pedagogi, teknologi serta pendekatan holistik dan bersepadu sebagai teras melahirkan pemimpin yang berilmu dan bermanfaat,” tambahnya lagi.

Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berucap semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Kepakaran UTM di SMK Tasek Utara

Sumbangan kepakaran ini diterajui oleh Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pendidikan negeri Johor melalui pendekatan berasaskan penyelidikan, inovasi pedagogi dan pemindahan ilmu secara sistemik ke sekolah-sekolah rintis. Melalui penglibatan ini, UTM bukan sahaja menyumbang kepakaran teknikal dan pembangunan kurikulum, malah bertindak sebagai rakan strategik pendidikan kepada Kerajaan Negeri Johor dalam merangka model sekolah masa depan.

Skop kerjasama merangkumi pentaksiran berasaskan kompetensi, latihan profesional guru, pemantauan pengajaran dan pembelajaran, serta penilaian keberkesanan dasar di peringkat bilik darjah. Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, serta Pro Canselor UTM, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, untuk membangunkan model pendidikan progresif yang menekankan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah dan kesiapsiagaan murid menghadapi cabaran global, sekali gus memastikan SRBJ berpotensi menjadi model contoh kepada sekolah lain di Malaysia.

Naib Canselor UTM meninjau penggunaan teknologi canggih di salah satu kelas Rintis 2 semasa lawatan ke sekolah berkenaan

SRBJ yang dipacu oleh Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menekankan penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu, pengukuhan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pembangunan sahsiah serta kebolehpasaran murid. Inisiatif ini turut melibatkan pentaksiran berasaskan kompetensi setara piawaian antarabangsa selaras dengan dasar kementerian.

Empat sekolah telah dipilih sebagai Sekolah Rintis Bangsa Johor bermula sesi persekolahan 2025/2026, iaitu SMK Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang, SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara di Johor Bahru.

Lawatan tersebut turut merangkumi tinjauan ke bilik guru, sesi pembelajaran di kelas, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi serta makmal sains yang dilengkapi kemudahan teknologi terkini selaras dengan keperluan pembelajaran abad ke-21.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, mendengar penjelasan daripada murid di kelas Rintis 1 ketika mereka mempelajari subjek Pendidikan Seni Visual

Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 yang menekankan transformasi masyarakat melalui pembangunan komuniti, kesejahteraan dan pembinaan bakat masa depan. Usaha ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan khususnya Matlamat Keempat iaitu Pendidikan Berkualiti.

Turut hadir Haji Karim Masiran, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru (PPDJB); Pengetua SMK Tasek Utara, Adnan Shamsudin; dan Dekan FEST UTM, Prof. Dr. Noraffandy Yahaya.

Lawatan rasmi ini menegaskan lagi peranan strategik UTM dalam membangunkan pendidikan di Johor, bukan sahaja melalui sumbangan kepakaran dan teknologi, malah menerusi kolaborasi berterusan dengan kerajaan negeri, pihak sekolah dan komuniti. Usaha ini diyakini akan menjadi model rujukan bagi inisiatif pendidikan masa depan, memperkukuh kualiti pembelajaran, pembangunan sahsiah murid dan pemupukan kemahiran abad ke-21 secara holistik.

Delegasi UTM bergambar bersama wakil JPNJ, wakil PPDJB, dan pihak sekolah

Explore More

UTM Open Day