Program Fish To Feed tingkat kesedaran spesies ikan invasif dalam kalangan pelajar sekolah

📝 Ringkasan

Program Fish To Feed telah diadakan di SMK Taman Mutiara Rini 2 untuk meningkatkan kesedaran pelajar sekolah tentang ancaman spesies ikan invasif, seperti ikan bandaraya. Program ini melibatkan pelbagai aktiviti interaktif termasuk perkongsian ilmu, kuiz, pameran, dan pertandingan inovasi perangkap ikan invasif.

JOHOR BAHRU, 28 Jan – Program Fish To Feed: Program Kesedaran Spesies Ikan Invasif 2026 telah berjaya dilaksanakan di SMK Taman Mutiara Rini 2 menerusi inisiatif anjuran Biro Kelestarian dengan kerjasama Biro Keusahawanan dan Inovasi Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar sekolah terhadap ancaman spesies ikan invasif, khususnya ikan bandaraya atau pleco, di samping memperkenalkan pendekatan pengurusan lestari bagi memelihara keseimbangan ekosistem sungai.

Program tersebut melibatkan seramai 117 peserta yang terdiri daripada pelajar SMK Taman Mutiara Rini 2, guru penasihat serta ahli jawatankuasa pelaksana. Aktiviti dimulakan dengan sesi pendaftaran dan pengisian borang soal selidik bagi menilai tahap pengetahuan awal pelajar berkaitan isu spesies invasif. Hasil dapatan menunjukkan sebahagian besar pelajar masih kurang pendedahan tentang kesan spesies invasif terhadap biodiversiti akuatik, sekali gus menonjolkan kepentingan pelaksanaan program kesedaran alam sekitar secara berterusan.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan dan sesi perkongsian ilmu berkaitan spesies ikan invasif yang disampaikan oleh Pengetua Kolej Tun Hussein Onn, Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin. Penyampaian yang interaktif berjaya menarik minat pelajar apabila mereka aktif mengemukakan soalan dan berkongsi pandangan sepanjang sesi berlangsung. Pendekatan komunikasi dua hala ini membantu meningkatkan pemahaman peserta terhadap kesan jangka panjang spesies invasif terhadap ekosistem sungai tempatan.

Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin menyampaikan taklimat mengenai ancaman spesies ikan invasif kepada pelajar SMK Taman Mutiara Rini 2

Bagi mengukuhkan pengetahuan, program turut diselitkan dengan sesi soal jawab dan kuiz interaktif yang dikendalikan oleh pengarah program, Ahmad Mustaqim Zainudin. Aktiviti tersebut berlangsung dalam suasana ceria dan kompetitif, sekali gus menggalakkan penglibatan aktif pelajar sambil memperkukuh kefahaman mereka terhadap isu pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu, sesi pameran dan demonstrasi turut diadakan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar. Melalui aktiviti ini, pelajar berpeluang melihat spesies ikan invasif iaitu ikan bandaraya dengan lebih dekat serta memahami ciri-ciri dan kesannya terhadap ekosistem secara praktikal.

Ikan bandaraya yang ditangkap bagi tujuan sesi pameran dan demonstrasi sebagai pendedahan langsung terhadap isu biodiversiti akuatik

Suasana program turut diserikan dengan penglibatan aktif para pelajar yang menunjukkan minat tinggi sepanjang sesi berlangsung. Mereka bukan sahaja memberi tumpuan sepenuhnya terhadap penyampaian penganjur, malah turut berinteraksi secara langsung melalui sesi perbincangan dan perkongsian pandangan. Pendekatan pembelajaran yang santai namun interaktif ini berjaya mewujudkan persekitaran yang kondusif serta meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan pemeliharaan ekosistem sungai dan kelestarian alam sekitar.

Sesi Bergambar bersama Pelajar SMK Taman Mutiara Rini 2

Program ini turut memperkenalkan Pertandingan PlecoTrap yang memberi peluang kepada pelajar menghasilkan inovasi perangkap ikan invasif melalui aplikasi konsep sains, teknologi dan kejuruteraan. Para peserta mempamerkan pelbagai reka bentuk kreatif termasuk penggunaan bahan ringan dan tahan air bagi meningkatkan keberkesanan perangkap dalam persekitaran sungai. Terdapat juga kumpulan yang mengaplikasikan prinsip tekanan hidraulik bagi memastikan mekanisme perangkap lebih responsif dan efisien.

Peserta mempersembahkan model perangkap pintar yang mengintegrasikan pengesan imej berasaskan kecerdasan buatan dan mikropengawal bagi mengenal pasti spesies sasaran

Lebih menarik, beberapa kumpulan berjaya mengintegrasikan teknologi pintar seperti sistem pengesan imej berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta penggunaan mikropengawal seperti Arduino bagi menghasilkan model perangkap separa autonomi yang mampu mengenal pasti spesies sasaran sebelum diaktifkan. Inovasi ini memperlihatkan kreativiti pelajar dalam menggabungkan konsep kejuruteraan, pengaturcaraan dan kelestarian alam sekitar dalam satu penyelesaian praktikal.

Berdasarkan penilaian juri, kumpulan Bioshield Squad dinobatkan sebagai juara Pertandingan PlecoTrap, diikuti kumpulan Kopiko dan Technova masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Secara keseluruhannya, Program Fish To Feed 2026 berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar serta memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti sekolah. Pihak penganjur berharap inisiatif sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan masyarakat yang lebih lestari.

Sesi bergambar bersama peserta, guru dan wakil Kolej Tun Hussein Onn, UTM selepas tamat Program Fish To Feed 2026

Explore More

UTM Open Day