UTM perkasa kesejahteraan psikososial ibu bapa melalui kolaborasi bersama JKM

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melaksanakan Program Kesejahteraan Psikososial Ibu Bapa bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai dan Johor Bahru. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan kesejahteraan mental, mengukuhi kemahiran daya tindak dan resiliens keluarga serta membentuk jaringan sokongan sosial yang kukuh dalam kalangan komuniti.

JOHOR BAHRU, 26 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui penganjuran Program Kesejahteraan Psikososial Ibu Bapa hasil kerjasama strategik bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulai dan Daerah Johor Bahru. Program ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan ibu bapa dalam mengurus kesejahteraan mental, emosi dan sosial sebagai asas pembinaan keluarga sejahtera serta komuniti yang selamat dan berdaya tahan.

Program yang dikendalikan oleh Dr. Nur Azmina Paslan, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi UTM Johor Bahru, menggunakan Modul Latihan Kesejahteraan Psikososial Ibu Bapa yang dibangunkan berasaskan pendekatan psikopendidikan dan intervensi praktikal. Modul ini menekankan kefahaman asas kesihatan mental, pengenalpastian tanda stres, kebimbangan dan kemurungan, pengurangan stigma, serta strategi pengurusan kendiri yang mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Sesi bergambar bersama peserta dan penganjur semasa majlis penutup program

Selain aspek pemerkasaan kendiri, program ini turut bertujuan meneroka secara mendalam cabaran psikososial yang dihadapi oleh ibu bapa dalam konteks kehidupan seharian melalui pelaksanaan perbincangan kumpulan berfokus dan aktiviti libat urus komuniti. Pendekatan ini membolehkan ibu bapa menyuarakan pengalaman sebenar berkaitan tekanan keibubapaan, tuntutan ekonomi, konflik keluarga serta pengaruh persekitaran sosial dalam suasana yang selamat, terbuka dan saling menyokong.

Program ini juga memberi ruang kepada peserta untuk mengenal pasti serta merefleksi gaya keibubapaan yang diamalkan terhadap anak-anak, sama ada secara sedar atau tidak, serta menilai kesannya terhadap kesejahteraan emosi dan tingkah laku anak melalui perkongsian dalam kumpulan. Di samping itu, penekanan turut diberikan kepada strategi daya tindak (coping strategies) dan mekanisme resiliens yang diamalkan oleh ibu bapa bagi mengekalkan kestabilan emosi, fungsi keluarga dan keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran berterusan, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan sosial dalam komuniti setempat.

Peserta mengikuti sesi perkongsian ilmu berkaitan kesejahteraan psikososial ibu bapa

Antara komponen utama program ialah penerapan Kaedah 10B merangkumi amalan bersyukur, pernafasan teratur, bicara diri, beribadat, berkongsi perasaan, relaksasi otot, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam serta berfikiran positif. Pendekatan holistik ini disokong dengan aktiviti refleksi kendiri seperti Jurnal Syukur dan Kotak Penjagaan Kendiri (Self-Care) yang membantu peserta merancang penjagaan diri merangkumi dimensi fizikal, mental, emosi dan spiritual.

Menurut Dr. Nur Azmina, kesejahteraan psikososial ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran keluarga yang stabil dan menyokong perkembangan anak-anak. Beliau menjelaskan bahawa ibu bapa yang sejahtera dari aspek emosi dan mental berupaya menjadi agen perubahan positif di peringkat keluarga dan kejiranan, seterusnya menyumbang kepada pencegahan konflik, pengabaian dan pelbagai isu sosial.

Penyampaian cenderamata kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai

Kolaborasi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai dan Johor Bahru membolehkan program ini disasarkan kepada komuniti ibu bapa yang berdaftar di bawah jabatan tersebut, sekali gus memperluas capaian intervensi berasaskan komuniti yang inklusif dan bersifat pencegahan. Program ini turut membuka ruang dialog, sokongan sosial dan pengukuhan jaringan komuniti antara ibu bapa, agensi kebajikan dan institusi akademik.

Penyampaian cenderamata kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru

Melalui inisiatif ini, UTM memperlihatkan peranannya sebagai universiti penyelidikan yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat dengan mengintegrasikan kepakaran akademik dan keperluan sebenar komuniti. Program Kesejahteraan Psikososial Ibu Bapa diharapkan dapat menjadi model intervensi komuniti yang mampan serta menyumbang kepada pembentukan keluarga sejahtera, komuniti harmoni dan kejiranan yang selamat di Johor dan peringkat nasional.

Secara keseluruhan, impak program ini terhadap komuniti setempat dapat dilihat melalui peningkatan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan kesejahteraan mental, pengukuhan kemahiran daya tindak dan resiliens keluarga, serta pembentukan jaringan sokongan sosial yang lebih kukuh dalam kalangan komuniti. Melalui penglibatan aktif ibu bapa dalam sesi perbincangan dan libat urus komuniti, program ini berfungsi sebagai ruang selamat untuk perkongsian pengalaman, pembelajaran bersama dan pengukuhan nilai empati serta keprihatinan sosial. Usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada pencegahan isu psikososial, pengurangan risiko konflik dan pengabaian, serta menyokong pembinaan komuniti setempat yang lebih inklusif, berdaya tahan dan sejahtera.

Explore More

UTM Open Day