Projek Komuniti Bijak Nursery perkukuh pendidikan awal dan kelestarian komuniti Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI, 27 Dis – Projek Komuniti Bijak Nursery, salah satu daripada 31 projek yang menerima pembiayaan di bawah Geran Iskandar Puteri Rendah Karbon 5.0 (IPRK 5.0), telah dirasmikan dengan jayanya dalam satu majlis yang berlangsung meriah pada 27 Disember 2025. Projek ini diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim dan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan dengan peruntukan geran berjumlah RM14,000. Projek ini dijalankan di Tadika LittleQids Taman Pulai Indah dengan kepimpinan komuniti oleh Farah Sazrina Daud serta Hj. Mohd Nasruddin Md Kisom sebagai wakil komuniti setempat.

Majlis perasmian telah diadakan di Bijak Hall, Pulai Mutiara sebelum diteruskan dengan lawatan ke tapak kebun Bijak Nursery. Upacara perasmian disempurnakan oleh Muhammad Nasiruddin Mohamad Shapii, Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), yang turut menzahirkan sokongan terhadap inisiatif komuniti berasaskan kelestarian dan pendidikan awal kanak-kanak.

Muhammad Nasiruddin Mohamad Shapii menandatangani modul pembelajaran yang dihasilkan menerusi Projek Komuniti Bijak Nursery

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Muhd Al-Awwab Che Ahmad dari Petrosains Playsmart Johor Bahru serta Nur Hamiza Ruzaini Hashim, Pegawai Dietetik Hospital Sultanah Aminah. Dalam sesi perkongsian beliau, Nur Hamiza menekankan kepentingan pemakanan sihat dalam menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.

Nur Hamiza Ruzaini Hashim menyampaikan ceramah berkaitan pemakanan sihat kanak-kanak

Seramai 60 orang tetamu hadir memeriahkan majlis ini yang terdiri daripada ibu bapa, kanak-kanak serta pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada Kelab Pelajar Institut Jurutera Kimia (IChemE) yang bertindak sebagai sukarelawan. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah lawatan ke tapak kebun serta sesi penuaian sayuran hidroponik yang melibatkan murid-murid secara langsung, sekali gus memberi pendedahan awal kepada konsep pertanian lestari.

Selain itu, satu modul pembelajaran lengkap berasaskan aktiviti praktikal di kebun telah berjaya dibangunkan dengan bimbingan pelbagai pakar. Modul ini menyokong pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dan direka khusus untuk murid prasekolah. Penulisan serta ilustrasi modul ini dihasilkan oleh para guru tadika sendiri yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap projek ini, iaitu Aida Najwa Saharuddin, Seri Murniu Othman dan Umi Nur Fatini Maslee, termasuk Farah Sazrina Daud selaku penyelaras komuniti.

Sesi memotong riben sebagai simbolik perasmian Kebun Bijak Nursery

Menurut salah seorang ibu bapa, pendekatan pembelajaran menggunakan modul dan aktiviti hands-on di kebun memberikan pengalaman baharu yang sangat bermakna kepada anak-anak. Mereka berasa bangga apabila anak-anak dapat belajar secara interaktif dan lebih dekat dengan alam semula jadi.

Seorang pelajar UTM pula menyatakan bahawa penglibatan sebagai sukarelawan membuka peluang berharga untuk mendekati komuniti setempat. Pengalaman tersebut membolehkan mahasiswa menyumbang secara langsung kepada masyarakat sambil mengasah kemahiran interpersonal dan kesedaran sosial.

Sebagai simbolik perasmian, para tetamu dan perasmi turut menerima hadiah berupa sayuran segar yang dituai terus dari kebun Bijak Nursery, melambangkan hasil nyata kerjasama antara universiti dan komuniti.

Muhammad Nasiruddin Mohamad Shapii menerima sayuran segar yang dituai oleh murid-murid Bijak Nursery

Secara keseluruhannya, projek ini berjaya membangunkan kebun lestari dengan tiga kitaran penanaman dan penuaian, memperkenalkan menu baharu berasaskan sayuran bebas racun di tadika, serta menghasilkan modul pembelajaran praktikal berasaskan kebun. Kejayaan ini mencerminkan komitmen Universiti Teknologi Malaysia dalam memperkukuh hubungan universiti dan komuniti, di samping menyokong agenda pembangunan rendah karbon di peringkat tempatan.

Oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim dan Nor Eman Ismail, UTM Institute for Oil and Gas dan Safety and Health Research Group, UTM Johor Bahru

Explore More

UTM Open Day