December 1, 2025

UTM–YPIP perkasa pekerja MBIP melalui latihan kemahiran asas pendawaian elektrik

ISKANDAR PUTERI, Nov 25 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), dengan kerjasama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP), terus memperkukuh agenda pembangunan komuniti melalui penganjuran Kursus Asas Pendawaian Elektrik khusus untuk 20 orang pekerja Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Program sehari penuh yang berlangsung di UTM ini dirangka bagi meningkatkan tahap keselamatan, kemahiran teknikal serta kecekapan pekerja dalam melaksanakan tugasan pemasangan elektrik asas yang sering diperlukan dalam pengurusan acara dan operasi lapangan MBIP. Kursus ini memastikan peserta memahami asas teori elektrik, mengenal pasti komponen, serta menguasai teknik pemasangan yang selamat dan mengikut piawaian asas. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan kerja tetapi turut menyokong keberkesanan operasi program MBIP.

Peserta menjalankan latihan amali asas pendawaian
Peserta menjalankan latihan amali bagi memperkukuh asas teori

Melalui latihan teori dan praktikal yang berstruktur, peserta bukan sahaja memahami konsep asas elektrik dan keselamatan, malah mampu melaksanakan tugasan pendawaian asas dengan lebih tepat, selamat dan mengikut piawaian ditetapkan. Pendedahan kepada simulasi pendawaian khemah, pemasangan DB mini, sambungan plug serta troubleshooting asas telah meningkatkan keyakinan peserta dan mengurangkan risiko gangguan teknikal semasa program lapangan.

Latihan ini turut memberi impak langsung kepada operasi MBIP dengan meningkatkan kecekapan penyediaan prasarana elektrik, mengurangkan kebergantungan kepada khidmat luar serta menjimatkan kos pengurusan acara. Keupayaan tenaga dalaman yang mahir dalam pendawaian asas membolehkan MBIP bertindak lebih pantas, mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

Kursus ini menjadi pemangkin kepada peningkatan keselamatan, profesionalisme dan daya tahan organisasi, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti Iskandar Puteri melalui pembangunan kapasiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang relevan dan berimpak tinggi.

Peserta mendalami latihan amali pendawaian asas
Sesi penilaian kemahiran peserta
Sesi pengujian kemahiran peserta

Program ini diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali dan dikendalikan bersama pensyarah berpengalaman, iaitu Ts. Dr. Mohd Fahmi Adnan, serta dibantu beberapa orang fasilitator. Mengulas tentang pelaksanaan latihan, pihak UTM menegaskan komitmen untuk terus menyalurkan kepakaran kepada komuniti melalui latihan kemahiran teknikal yang praktikal dan relevan, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara berfokus TVET.

Secara keseluruhannya, kursus ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal peserta, malah memberikan impak nyata kepada keselamatan, kecekapan operasi dan mutu penyampaian perkhidmatan MBIP. Pembangunan kapasiti melalui latihan TVET berasaskan komuniti ini membuktikan bahawa penyaluran kemahiran asas yang tepat mampu mengurangkan risiko kerja, mempercepat penyediaan prasarana serta meningkatkan keyakinan pekerja dalam tugasan lapangan.

Seiring dengan kejayaan program ini, Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, FEST UTM terus memberikan komitmen dalam memperkasa komuniti melalui program latihan kemahiran yang relevan, praktikal dan berimpak tinggi. Usaha ini selaras dengan agenda TVET negara yang menekankan pembangunan tenaga kerja mahir, inklusif dan responsif terhadap keperluan industri, serta memenuhi aspirasi negeri Johor yang sedang menuju pembangunan pesat melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan pelbagai pelan pembangunan mampan. Dengan sokongan pelbagai rakan strategik, jabatan ini kekal komited untuk memperkukuh ekosistem TVET komuniti yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan Johor secara keseluruhan.

Explore More

UTM Open Day