📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Explorasi Akademik dan Kepimpinan Sains, Teknologi dan Inovasi MADANI 2025 bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seri Wan Mohamed. Program ini bertujuan memperluas akses kepada pendidikan berkualiti, memperkukuh aspirasi pendidikan tinggi serta membangunkan potensi kepimpinan pelajar melalui pendedahan awal kepada ekosistem universiti dan bidang sains, teknologi dan inovasi. Program ini juga selari dengan pendekatan Whole of Government (WoG) yang menekankan kerjasama strategik antara universiti, institusi pendidikan sekolah dan komuniti setempat dalam pembangunan modal insan negara.
JOHOR BAHRU, 30 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah menganjurkan Program Explorasi Akademik dan Kepimpinan Sains, Teknologi dan Inovasi MADANI 2025 selama empat hari bermula 26 hingga 29 November 2025. Program ini melibatkan penyertaan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seri Wan Mohamed, Kampung Plang, Gerik, Perak dan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI UTM 2025. Inisiatif ini mencerminkan komitmen UTM sebagai universiti awam dalam menyokong agenda pembangunan komuniti secara inklusif dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Program ini diketuai oleh Pengarah Program, Ts. Dr. Syamsul Hendra Mahmud, dengan objektif memperluas akses kepada pendidikan berkualiti, memperkukuh aspirasi pendidikan tinggi serta membangunkan potensi kepimpinan pelajar melalui pendedahan awal kepada ekosistem universiti serta bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). Pelaksanaan program ini juga selari dengan pendekatan Whole of Government (WoG) yang menekankan kerjasama strategik antara universiti, institusi pendidikan sekolah dan komuniti setempat dalam pembangunan modal insan negara.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pengisian berstruktur yang merangkumi lawatan akademik ke Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di UTM Cawangan Kuala Lumpur, lawatan strategik ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) serta lawatan komprehensif ke UTM Johor Bahru. Lawatan ini memberikan pendedahan menyeluruh terhadap peranan universiti penyelidikan dan agensi berkaitan dalam memacu pembangunan ilmu, inovasi serta kemajuan sosioekonomi negara.

Di UTM Johor Bahru, peserta turut didedahkan kepada fasiliti utama universiti seperti Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Institut Voltan dan Arus Tinggi (IVAT), makmal aeronautik, fakulti akademik serta kemudahan sokongan universiti. Pendedahan ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta terhadap fungsi universiti awam sebagai sebahagian daripada ekosistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang menyokong dasar dan keutamaan negara.


Program ini turut menekankan pembangunan sahsiah, jati diri dan kepimpinan melalui Latihan Dalam Kumpulan bersama pensyarah Fakulti Alam Bina dan Ukur, sesi Journey to UTM bersama Bahagian Rekrutmen dan Kemasukan Mahasiswa (SRAD) UTM serta interaksi berterusan bersama mahasiswa UTM. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiental learning) ini menyokong pembentukan pelajar yang berfikiran kritis, berintegriti serta mempunyai keupayaan kepimpinan yang seimbang antara kecemerlangan akademik dan nilai kemanusiaan.

Menurut Ts. Dr. Syamsul Hendra, program ini menjadi contoh pelaksanaan berkesan agenda MADANI di peringkat akar umbi. Beliau menyatakan bahawa pelaksanaan program di bawah Projek Kampung Angkat MADANI UTM 2025 mencerminkan pendekatan Whole of Government yang menyatukan universiti, sekolah dan komuniti sebagai rakan pembangunan. Melalui pemerkasaan ilmu, kepimpinan dan nilai, program ini menyokong hasrat Kerajaan MADANI untuk melahirkan generasi yang berdaya saing, beretika dan berkeupayaan memacu kemajuan negara secara lestari.

Secara keseluruhan, Program Explorasi Akademik dan Kepimpinan STI MADANI Kampung Angkat UTM 2025 berjaya memperlihatkan keberkesanan pendekatan WoG dalam pembangunan modal insan secara holistik dan berimpak tinggi. Program ini diharapkan dapat dijadikan model amalan terbaik dalam pelaksanaan inisiatif libat urus universiti dan komuniti yang menyokong agenda Kerajaan MADANI ke arah pembinaan masyarakat berpengetahuan, sejahtera dan berdaya tahan.