KTR terajui penanaman 80 anak pokok Bakau di Pulau Tuba

PULAU TUBA, 23 Nov – Kolej Tun Razak (KTR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pulau Tuba. Program ini merupakan salah satu pengisian penting dalam Kem Pemantapan Jawatankuasa Pelajar 2025/2026: Leadership Odyssey Camp yang berlangsung pada 21-24 November 2025 di Pulau Langkawi. Seramai 27 pelajar KTR dan sembilan fasilitator terlibat secara langsung dalam program ini yang menumpukan kepada pemuliharaan kawasan pesisir pantai.

Aktiviti utama program ialah penanaman pokok bakau di sepanjang kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan ombak. Lebih 80 anak pokok bakau berjaya ditanam oleh para peserta bersama warga kerja LADA. Matlamat utama aktiviti ini adalah memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar, khususnya hutan bakau yang berperanan sebagai benteng semula jadi dalam mengurangkan hakisan pantai, menjadi habitat biodiversiti marin, serta membantu penyerapan karbon.

Program ini turut disertai oleh pegawai LADA yang memberi taklimat mengenai fungsi dan kepentingan hutan bakau serta kaedah penanaman yang betul. Perkongsian ilmu ini bukan sahaja menambah pengetahuan peserta, malah memberi kesedaran mengenai realiti dan cabaran pemuliharaan alam semula jadi. Para peserta diberi peluang bertanya dan berdiskusi secara langsung dengan pihak berpengalaman, menjadikan program ini satu bentuk pembelajaran luar bilik darjah yang efektif.

Taklimat daripada wakil LADA

Kerjasama strategik bersama LADA amat dihargai kerana telah membantu dari segi fasiliti, logistik serta kepakaran teknikal yang diperlukan bagi menjayakan program ini. Usaha ini juga dilihat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 13, Tindakan terhadap Perubahan Iklim dan SDG 15, Kehidupan di Darat, dengan memberi fokus kepada pemeliharaan kawasan pesisir yang semakin terancam.

Aktiviti menanam pokok bakau
Aktiviti penanaman pokok bakau dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh pelajar dan fasilitator

Sepanjang sesi penanaman, semangat kerjasama jelas terpancar apabila peserta dan fasilitator berganding bahu menanam anak pokok bakau di kawasan yang dikenal pasti berpotensi dipulihkan. Kerjasama strategik bersama LADA membuktikan bahawa sinergi antara institusi pengajian tinggi dan agensi pembangunan tempatan mampu melahirkan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada kelestarian alam sekitar, khususnya melalui aktiviti pemuliharaan seperti penanaman pokok bakau di kawasan ekosistem sensitif.

Wajah ceria para peserta dan fasilitator selepas aktiviti menanam pokok bakau

Aktiviti ini juga menjadi simbolik kepada visi dan misi Kolej Tun Razak dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap isu semasa dan berjiwa pemimpin. Melalui pengalaman ini, peserta kem dapat menghayati bahawa kepimpinan sebenar bukan hanya terletak pada jawatan, tetapi juga pada tindakan serta sumbangan kepada masyarakat dan alam sekitar.

Program CSR ini bukan sahaja memperkasakan nilai kepimpinan dalam diri pelajar, malah turut mengeratkan hubungan antara kolej dan komuniti luar, khususnya agensi pembangunan tempatan seperti LADA.

Explore More

UTM Open Day