December 4, 2025

Kelab Belia Penyayang Iskandar Puteri UTM meriahkan sambutan sedekad YPIP

ISKANDAR PUTERI, 29 Nov – Sambutan Sedekad Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) telah berlangsung dengan jayanya di Hutan Bandar Mutiara Rini. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Belia Penyayang Iskandar Puteri (BPIP) dijemput sebagai pempamer semasa sambutan tersebut.

Acara ini diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan YPIP sebagai tanda penghargaan atas komitmen berterusan yayasan dalam memperkukuhkan pembangunan komuniti Iskandar Puteri. Sambutan tersebut dirasmikan oleh YB Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara merangkap Pengerusi YPIP. Pelbagai pengisian menarik telah diadakan sepanjang sambutan, termasuk Love Fun Walk, acara sukaneka, pameran agensi, dan jualan foodtruck.

Ucapan perasmian oleh Pengerusi YPIP

Kelab BPIP memanfaatkan peluang ini untuk memperkenalkan dan mempromosikan kelab yang keahliannya terbuka kepada semua mahasiswa UTM yang menetap di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Melalui penglibatan ini, UTM bukan sahaja menyokong usaha pembangunan komuniti setempat, tetapi turut memperkukuh komitmen universiti dalam melahirkan mahasiswa yang aktif, bertanggungjawab, dan berperanan sebagai agen perubahan sosial di Iskandar Puteri.

Penyertaan kelab ini juga mencerminkan keprihatinan UTM dalam memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta menyediakan peluang bernilai kepada Kelab BPIP untuk memperluas rangkaian kerjasama dan menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam program kemasyarakatan.

Reruai kelab BPIP semasa sambutan

Selain itu, kelab ini turut berperanan sebagai rakan strategik YPIP dalam usaha merekrut sukarelawan, khususnya golongan belia di Iskandar Puteri, bagi menyertai pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh yayasan. Kerjasama ini membuka peluang kepada belia untuk menyumbang tenaga dan kepakaran dalam inisiatif komuniti yang memberi manfaat secara menyeluruh.

Kemeriahan pengunjung yang berkunjung ke reruai kelab BPIP

Sepanjang sambutan, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai permainan interaktif di reruai kelab, termasuk Flip and Match, Teka Perkataan dari Gambar, dan Botol Challenge, yang berjaya menarik minat pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga berperanan sebagai medium pendidikan dan kesedaran sosial. Di samping itu, pengunjung turut mengambil bahagian dalam tinjauan ‘Tinggal Di Mana?’ dengan menampal pelekat pada papan mengikut taman perumahan masing-masing.

Reruai kelab turut dikunjungi oleh YB Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed, Pengerusi YPIP; YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim, Datuk Bandar MBIP; ahli lembaga pemegang amanah, dan kakitangan YPIP. Mereka memberikan sokongan penuh terhadap penubuhan kelab ini dan mengiktiraf usaha UTM serta mahasiswa dalam memperkukuh agenda sosial di Iskandar Puteri.

Kunjungan mereka menekankan kepentingan penglibatan belia dalam aktiviti sosial, pembangunan komuniti, serta program sukarelawan yang memberi impak positif kepada masyarakat setempat. Sokongan ini turut memperlihatkan keyakinan YPIP dan MBIP terhadap potensi mahasiswa sebagai pemimpin masa hadapan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Kunjungan oleh Pengerusi YPIP dan Datuk Bandar MBIP
Penasihat dan AJK Kelab BPIP yang turut serta sepanjang sambutan

UTM dan Kelab BPIP komited untuk terus bersama YPIP dalam usaha memperkasa komuniti Iskandar Puteri, selaras dengan nilai teras UTM iaitu sinergi, sambil menyemarakkan inisiatif kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada pembangunan belia, kesejahteraan penduduk setempat, serta memperkukuh peranan universiti dalam menjalankan tanggungjawab sosial universiti (USR). Inisiatif ini diharap dapat menjadi platform berterusan untuk melibatkan mahasiswa dan belia dalam pembangunan komuniti yang mampan dan inklusif.

Explore More

UTM Open Day