JOHOR BAHRU, 2 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan sektor maritim.

Majlis menandantangani MoU itu telah berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru dengan UTM diwakili oleh Naib Canselornya,  Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail manakala JLM pula diwakili oleh Ketua Pengarah Laut, Dato’ Hj. Baharin Dato’ Abdul Hamid.

Bidang-bidang kerjasama yang akan dimetrai melibatkan kerjasama dalam bidang berkaitan pembangunan penyelidikan sektor maritim khususnya perkapalan dan pelabuhan serta penyediaan Latihan Industri, Latihan dan Kursus serta penerbitan hasil kajian penyelidikan.

Prof. Ahmad Fauzi berkata persefahaman ini merupakan kesinambungan komitmen kerjasama sedia ada antara UTM dan JLM dimana MoU terdahulu telah dimeterai kedua-dua belah pihak pada tahun 2015 dan 2017.

“Adalah diharapkan melalui perjanjian persefahaman ini akan dapat membentuk modal insan berteraskan pembangunan kompetensi, kemahiran serta melengkapkan pegawai JLM dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi melaksanakan tugasan masing-masing.

“Melalui kerjasama ini juga UTM khasnya akan mendapat lebih banyak pendedahan terkini berkaitan dengan kejuruteraan maritim, perkapalan dan pelabuhan yang mana amat diperlukan dalam menyediakan graduan yang mempunyai pengetahuan terkini berkenaan bidang ini,” katanya lagi.

Turut menghadiri majlis adalah Timbalan Ketua Pengarah Laut (Perancangan), Kapten Mohamad Halim Ahmed, Timbalan Setiausaha Bahagian Maritim, Kementerian Pengangkutan, Norhasliza Mat Salleh, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail (empat kanan) dan Ketua Pengarah Laut, Dato’ Hj. Baharin Dato’ Abdul Hamid masing-masing menunjukkan dokumen Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani pagi semalam.

Explore More