April 20, 2024

Search
Close this search box.

PASIR GUDANG, 9 Mac 2013: Tabung Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat sejarah apabila menerima sumbangan terbesar berjumlah RM5 juta dari Johor Port Berhad.

Pengerusi Johor Port Berhad, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman menyampaikaan sumbangan itu kepada Naib Canselor UTM, Dato’ Seri Prof Dr Zaini Ujang di majlis perasmian UTM-Industry Pasir Gudang Community Engagement (UTM-IPGCE), dekat sini hari ini.

Majlis penyerahan itu disaksikan oleh Menteri Pegajian Tinggi Malaysia, YB  Datuk  Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut melancarkan nama baru Pusat Teknologi Marin kepada UTM – Johor Port Marine Technology Centre.

YB Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, beliau mengalu-alukan sumbangan oleh Johor Port Berhad bagi membolehkan UTM mencapai sasaran yang ditetapkan untuk memberi biasiswa kepada semua pelajar ijazah pertama menjelang 2020.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Tabung endowmen UTM berjaya mengumpul dana sebanyak RM53 juta termasuk sumbangan oleh Johor Port Berhad.

“Dalam usaha menjana pendapatan UTM menjadi universiti terkehadapan berbanding institusi pengajian tinggi lain di negara ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan.

Di majlis berkenaan, Menteri Pengajian Tinggi turut melancarkan nama rasmi Dewan Kuliah Harvard Business School Alumni Club Of Malaysia Foundation.

Beliau berkata, penubuhan Tabung Endowmen UTM pada tahun 2009 adalah selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang menyarankan institusi pengajian tinggi awam menjana pendapatan sendiri.

“Semua Universiti Penyelidikan dikehendaki menjana pendapatan sendiri sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kewangan yang diperlukan bagi mengurus universiti,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaini berkata, sumbangan berkenaan digunakan untuk memberi biasiswa kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda di UTM sebanyak RM12,000 setahun, menjalankan penyelidikan, penajaan kerusi profesor, penerbitan bahan saintifik dan perlaksanaan program berimpak tinggi.

“Pada tahun ini UTM mensasarkan sumbangan berjumlah RM50 juta dan biasiswa yang diberikan adalah hasil keuntungan dalam pelbagai pelaburan,” katanya di hadapan tetamu termasuk peserta UTM-IPGCE.

Beliau berkata, UTM-IPGCE merupakan salah satu inisiatif bagi menyemarakkan gelombang kesukarelawanan di kalangan warga kampus rentetan daripada My Beautiful Malaysia Day yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 Februari lalu.

Seramai 60 pelajar UTM berkampung selama empat hari di Kampung Sepakat, Masai mulai 7 Mac 2013 untuk mengadakan aktiviti gotong royong di sekitar kawasan kampung berkenaan yang mana aktiviti itu menyerlahkan makna kesukarelawanan yang sebenar.

 

Explore More