April 25, 2024

Search
Close this search box.
Pasukan UTM meraikan kemenangan selepas menerima hadiah yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Seri Ahmad Said.

KUALA TERENGGANU, 17 Julai: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat sejarah memenangi pertandingan ROBOCON peringkat kebangsaan buat kali kelapan, sejak mula dipertandingkan pada 2002.

UTM B membawa pulang hadiah wang tunai RM10 ribu, insentif ke pertandingan antarabangsa RM5 ribu dan sumbangan Asia Pacific Broadcasting USD1,000 selepas menewaskan Kolej Kemahiran Mara Balik Pulau, Pulau Pinang di pertandingan akhir yang berlangsung di Stadium Negeri dekat sini petang tadi.

Kemenangan itu membolehkan UTM B mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa di Hong Kong Ogos depan.

Manakala UTM A dan Jebat R C dari Institut Latihan Perindustrian Bukit Katil, Melaka masing-masing menduduki tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM3 ribu.

UTM A turut dipilih sebagai pemenang kategori kejuruteraan terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3 ribu.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said diiringi oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA) menyaksikan pertandingan itu dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

ROBOCON kali ke – 11 itu mencatatkan jumlah penyertaan paling banyak dengan 61 pasukan dari 44 buah universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, kolej kemahiran Mara dan institut latihan kemahiran dari seluruh negara.
Seramai 427 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan kali ke-11 itu yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kerajaan negeri Terengganu, UTM, SIRIM dan RTM.

YAB Dato’ Seri Ahmad Said membunyikan hon untuk memulakan pertandingan akhir.

UTM diberi kepercayaan oleh KPT menjadi institusi pengajian tinggi awam pertama menganjurkan ROBOCON peringkat kebangsaan.

Sebelum ini ROBOCON dikenali sebagai ABU Asia Pacific Robot Contest (ABU ROBOCON), pertandingan tahunan yang terbuka kepada pelajar universiti, kolej dan politeknik di rantau Asia Pasifk.

Tujuan pertandingan memupuk semangat setiakawan di kalangan belia yang mempunyai kecenderungan yang sama, serta membantu memajukan bidang kejuruteraan dan teknologi di rantau ini.

Untuk maklumat lanjut layari laman web berikut : http://www.robofest.org.my/ atau http://www.facebook.com/malaysiarobotcontest

Explore More