Prof. Hishamuddin menerima Anugerah Perdana Penerbit Universiti Awam dari isteri Perdana Menteri Datin Paduka Sri Rosmah Mansor.

Kuala Lumpur 3 Feb. Penerbit UTM Press terus mengharumkan nama UTM apabila dinobatkan sebagai penerima kategori Anugerah Perdana Penerbit Universiti Awam, Anugerah Buku Negara 2012 yang disampaikan oleh isteri Perdana Menteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Pengarahnya, Profesor Dr. Hishamuddin Jamaludin berkata,  anugerah tahunan yang mula diberikan sejak tahun 2006 itu bagi menghargai sumbangan individu, penerbit, penyunting, pencetak, pereka letak dalam memperkasakan industri buku negara.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama The Oxford Centre for Excellence, United Kingdom, turut didukung oleh Kementerian Pengajian Tinggi, dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Beliau berkata, kejayaan Penerbit UTM Press antaranya dinilai berdasarkan kepada jumlah buku yang diterbitkan oleh sesebuah Penebit Universiti yang mana Penerbit UTM Press telah menghasilkan lebih 40 judul setahun.

“Selain itu, kepelbagaian genre yang diusahakan seperti buku karya asli, buku terjemahan, novel fiksyen sains dan teknologi, ensiklopedia sains dan teknologi, bab dalam buku, jurnal dan monograf turut dinilai.

“Pengisian Program Berimpak mengenai buku seperti pelancaran, bicara buku, anugerah peringkat universiti, karyawan tamu,  sayambbara fiksyen sains, galeri buku dan kios juga  diambil kira,” katanya.

Beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan Penerbit UTM Press ialah jumlah jualan buku yang mencecah RM1.7 setahun, selain keterlibatan secara aktif di peringkat kebangsaan dalam Majlis Buku ebangsaan Malaysia (MBKM),  Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia (MAPIM), Persatuan Editor Malaysia dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Penerbit UTM Press juga telah menghasilkan inovasi baru dalam industri buku di negara ini menerusi sistem jualan atas talian menerusi www.booksonline.my, laman web dan akaun automatik dalam sistem perakunan.

“Di samping itu, Penerbit UTM Press giat mengadakan kerjasama penerbitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kumpulan Utusan, Institut Terjemahan Buku Malaysia, Yayasan Pembangunan Buku Negara, Pearson, dan IWA, United Kingdom.

“Perkara lain yang dinilai seperti pencapaian memenangi anugerah seperti Anugerah Webometric, Anugerah Buku Terbaik, Anugerah Buku Negara dan  keterampilan dalam bidang yang didasari seperti jurus sains dan teknologi,” katanya.

Penerima lain Anugerah Buku Negara mengikut kategori ialah Profesor Dato’ Wira Dr. Khairil Annas Jusoh (Buku Kepimpinan), Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan (Anugerah Perdana Za’ba Tokoh Pengarang), Dato’ Ng Tieh Chuan (Tokoh Industri Buku Negara) dan Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid (Anugerah Perdana Tun Sri Lanang).

Dalam majlis yang sama mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Buku Terlaris (A Doctor In the House : Memoirs of Tun Dr. Mahathir  Mohammad).

Sementara itu, Anugerah Kehormat Penaung Buku Negara diungguli oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, selaku Penaung Anugerah Buku Negara.  Anugerah disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Para penerima Anugerah Buku Negara bergambar bersama isteri Perdana Menteri Datin Paduka Sri Rosmah Mansor.