April 23, 2024

Search
Close this search box.
Tan Sri Abdul Halim menerima sijil status universiti autonomi dari Dato’ Seri Mohamed Khaled di Putrajaya.

 

PUTRAJAYA, 26 Januari: – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diumumkan sebagai johan Webometrics Ranking of World Universities July 2011 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Anugerah berkenaan diberikan berdasarkan kepada kedudukan UTM di tangga teratas dalam penarafan universiti di Malaysia menggunakan penarafan universiti dunia oleh Webometrics.

Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dan ketiga Universiti kebangsaan Malaysia (UKM).

Naib Canselor Profesor Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang menerima hadiah berkenaan yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di majlis Amanat Tahun Baru 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dekat sini hari ini.

Di majlis berkenaan Dato’ Seri Mohamed Khaled turut mengumum pemberian status autonomi kepada empat Universiti Penyelidikan yang diketuai oleh Universiti Malaya (UM), diikuti USM, UKM dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau kemudiannya kemudiannya menyerahkan sijil status autonomi kepada semua Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti. Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Abdul Halim Ali hadir menerima sijil berkenaan.

Pada 8 Januari lalu Menteri Pengajian Tinggi mengumumkan UTM sebagai universiti pertama mendapat status autonomi dalam satu majlis UTM Johor Bahru.

Sementara itu Dr. Zaini berkata, webometrik menggunakan kaedah penilaian laman sesawang untuk menentukan pencapaian universiti dari segi kandungan bahan, rujukan, visibility dan kesarjanaan menerusi aktiviti yang mengunakan ruang siber.

“Antara kaedah yang digunakan untuk menentukan kedudukan universiti dalam penarafan terbaik berdasarkan kepada kandungan, bilangan fail (rich files), kesenangan untuk dicari dan kesarjanaan warga universiti berkenaan.

“Dalam konteks moden, kaedah rujukan dilakukan secara maya,” katanya.

Dalam penarafan webometrik yang diumumkan pada 30 Julai 2011, UTM menduduki tangga teratas di kalangan universiti di Malaysia, diikuti USM, UKM, UM dan UPM.

Pada peringkat global pula, UTM menduduki tangga 419, USM – 428, UKM – 462, UM – 552 dan UPM – 589 yang melibatkan 20,000 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia.

Sepuluh tangga teratas dibolot universiti dari Amerika Syarikat menerusi Institut Teknologi  Massachusetts (MIT) disusuli Harvard, Stanford, Cornell, Berkeley, Michigan, Wisconsin Madison, Washington, Minessota dan Pennsylvania.

Explore More