Nusa Jaya, 11 Disember  –  Universiti Teknologi Malaysia diiktiraf sebagai agensi dalam salah satu Zon daripada  lima zon yang menyumbang dalam pembangunan wilayah Iskandar Malaysia dari keseluruhan  kawasan seluas 2,217 kilometer persegi.

Pemilihan ini adalah selaras dengan  peranan UTM sebagai satu-satunya universiti Penyelidikan yang berasaskan teknologi dan kejuruteraan  di Zon E melibatkan kawasan Senai – Skudai dan  sumbangannya dalam pembangunan modal insan di wilayah ini.

Pengiktirafan ini  dipaparkan sempena pelancaran   sambutan ulang tahun ke lima Iskandar Malaysia yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib b. Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Puteri Harbour, Nusa Jaya.

Prof. Dr. Ir. Azraai Kasim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), bersama empat lagi agensi dalam setiap zon bersama-sama dalam acara pelancaran berkenaan yang turut disaksikan oleh YAB Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor dan Tan Sri Dato’ Azman b. Hj Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad.

Sementara itu antara wilayah lain adalah Zon A yang diwakili oleh Majlis Perbandaran  Johor Bahru Tengah, Zon B kawasan Nusa Jaya diwakili oleh IRDA, Zon C  kawasan Pembangunan Wilayah barat diwakili UEM Land dan Zon D, kawasan Pembangunan Wilayah Utara diwakili oleh Johor Corporation.

Sempena majlis berkenaan turut diadakan pertukaran dokumen antara pelabur dan agensi yang terlibat dalam pembangunan wilayah ini antaranya DHL, University of Reading, Frost & Sullivan, Ra Ta Land, Johor Corporation, Multi Media University, UEM Land dan lain-lain.

YAB Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya menyifatkan kawasan Nusa Jaya ini bakal menjadi kawasan pembangunan ekonomi  yang pesat  dalam pelbagai bidang  yang mampu menarik ramai pelabur daripada dalam dan luar negara. Komuniti di sekitar kawasan ini perlu mengambil peluang untuk memanfaatkan pembangunan ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan  Iskandar Malaysia dalam fasa kedua pembangunan sejumlah  RM77.8 juta komitmen pelaburan telah diterima dengan  perjalanan  projek yang mengikut jadual. Pada tahun 2012,  tiga projek utama iaitu Legoland Theme Park, Marlborough College dan Educity dijangka akan beroperasi sepenuhnya  dan  akan membawa makna besar terhadap pembangunan di wilayah ini.

Lebih 800 orang tamu hadir di majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled b. Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Exco-exco  Kerajaan Negeri Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Sebelum itu , YAB Perdana Menteri, telah berlepas daripada Padang Kawad UTM untuk menaiki helikopter  khas untuk melihat keseluruhan pembangunan wilayah Iskandar Malaysia melalui udara selama 30 minit. Beliau turut diiringi oleh YAB Menteri Besar Johor, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad dan Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif Iskandar Regional Development Authority (IRDA).

Sambutan di padang Kawad, diketuai oleh  Hj Wan Mohd Zawawi b. Wan Abd Rahman, Pendaftar UTM dan pegawai kanan UTM serta mahasiswa UTM. Menurut sumber  Polis Diraja Malaysia, Padang Kawad UTM terpilih berikutan lokasinya yang strategik dan memenuhi spesifikasi keselamatan pelepasan dan pendaratan penerbangan.