Julai 8, 2024

Search
Close this search box.

AirAsia bermula dengan impian – Tony Fernandes

JOHOR BAHRU, 18 September 2017 – Syarikat penerbangan tambang murah terkemuka dunia, AirAsia Berhad bermula dengan hanya sebuah impian pemiliknya yang ingin memiliki syarikat penerbangan sendiri.

Tony Fernandes ketika memberikan syarahan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru

Impian itu bagaimanapun berjaya direalisasikan menjadi kenyataan dengan kebijaksanaan pemiliknya, Tan Sri (Dr) Tony Fernandes selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia.

Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar tertarik dengan gelagat Fernandes semasa berkongsi kejayaan.

Fernandes dalam syarahannya mengatakan bahawa sebelum menjadi usahawan berjaya, beliau memasang impian untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri tetapi perjalanan ke arah itu tidak semudah yang disangka.

“Selepas meninggalkan kerjaya di Warner Music, saya bersama Datuk Kamaruddin Meranun menubuhkan syarikat AirAsia pada September 2001.

dewan Sultan Iskandar penuh dengan hadirin yang ingin mendengar perkongsian kejayaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes.

“Menerusi mantan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Pahamin Rejab, saya mendapat peluang bertemu dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Oktober 2001 bagi membincangkan mengenai soal permohonan lesen.

“Tun Dr. Mahathir telah menasihatkan saya supaya membeli syarikat penerbangan yang sedia ada berbanding menubuhkan yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan perkongsian kejayaannya dalam Program Syarahan Perdana bertajuk ‘Dare to Dream’ yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM Johor Bahru.

Syarahan Perdana itu dihadiri oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Fernandes berkata AirAsia pada masa itu hanya mempunyai dua buah kapal terbang Boeing yang telah berusia dan berhutang sebanyak RM40 juta.

“AirAsia sebelum diambil alih adalah sebuah anak syarikat yang ditubuhkan oleh DRB-HICOM, sebuah konglomerat kerajaan Malaysia yang telah mengalami kesulitan disebabkan tanggungan hutang yang terlalu tinggi.

“Kerajaan telah cuba menjualnya kepada pelabur-pelabur tanpa apa-apa kejayaan sehinggalah diambil alih oleh Fernandes dan Kamarudin.

“Selepas setahun beroperasi, AirAsia telah berjaya menjelaskan keseluruhan hutangnya dan tidak lagi mengalami kerugian,” katanya.

Beliau berkata, penyusunan semula organisasi AirAsia dengan imej dan konsep baharu membawa perubahan yang besar dan memperoleh keuntungan dalam tempoh masa yang pendek.

Tawaran sahamnya pada November 2004 menerima kelebihan permintaan sebanyak 130 peratus.

Selain syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, Fernandes juga mempunyai beberapa cabang perniagaan yang lainnya, antaranya rantaian Tune Hotels, pasukan lumba kereta Caterham F1 Formula One dan juga kelab bolasepak terkemuka di United Kingdom, Queen Park Rangers.

Sebelum mengakhiri syarahannya, Fernandes mengatakan bahawa impian tidak mustahil untuk direalisasikan asalkan mempunyai keberanian.

“Impian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan tidak mustahil untuk dizahirkan dalam bentuk yang nyata asalkan anda mempunyai keberanian.

“Tidak mengapa jika anda gagal, sekurang-kurangnya anda telah pun mencuba dan boleh lagi teruskan usaha itu hingga berjaya,” katanya.

Explore More