April 29, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 Mei –Program Dwi-Ijazah antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga University of Kent dari United Kingdom telah melahirkan graduan kedua yang tamat pengajian pada tahun ini.

Graduan itu, Law Kah Yan telah bergraduasi dengan jayanya di Majlis Konvokesyen UTM ke-65 (MK65) menyelusuri rakannya, Foo Weoi Ming yang tamat pengajian pada tahun 2019. Pelajar-pelajar ini telah menerima pembiayaan separa daripada Yayasan UTM.

Beliau telah bergraduasi dengan ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Industri) dari UTM yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru pagi tadi dan juga BSc in Actuarial Science dari University of Kent yang dianugerahkan kepada beliau awal bulan Mei lalu.

Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Chm. Dr Zaiton Abdul Majid berkata program ini adalah kolaborasi antara UTM dan juga University of Kent.

“UTM dan University of Kent telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) pada 23 Jun 2015 bagi menjalinkan kerjasama untuk menawarkan program akademik yang berbentuk dwi ijazah ini.

“Di bawah program ini, mahasiswa terbabit akan menerima dua ijazah iaitu Sarjana Muda Sains (Matematik Industri) dari UTM dan Bachelor of Science in Actuarial Science dari University of Kent, Canterbury, UK dalam tempoh lima tahun.” katanya.

Program Dwi Ijazah merupakan gabungan dua program pengajian daripada bidang berbeza yang melibatkan dua universiti di dalam atau luar negara. Menerusi program ini, pelajar akan menerima dua ijazah yang berasingan selepas berjaya memenuhi semua syarat-syarat penganugerahan yang telah ditetapkan oleh kedua-dua universiti.

Ditanya mengenai pra-syarat untuk menyertai program ini, Dr Zaiton berkata terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh UTM dan juga University of Kent bagi mahasiswa yang mengikuti program ini.

“Selain hanya dibuka kepada mahasiswa yang mengikuti kursus Sarjana Muda Matematik Industri sahaja, pemohon perlu memperolehi sekurang-kurangnya Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.5 pada semester empat.

“Mahasiswa yang terpilih juga perlu menghabiskan semua subjek teras dan subjek umum Universiti pada tahun tiga di UTM selain menyelesaikan subjek Projek Sarjana Muda (PSM) yang telah ditetapkan oleh pihak universiti dengan lebih awal iaitu dalam tahun ketiga pengajian dan telah menamatkan Latihan Industri,” katanya.

Menurut Dr Zaiton lagi mahasiswa terlibat dikehendaki untuk mengikuti program pengajian berdasarkan formula tiga campur dua (3 + 2) iaitu tiga tahun di Fakulti Sains UTM dan dua tahun lagi di Universiti of Kent, United Kingdom.

“Peserta dimestikan untuk mengikuti pengajian selama lima tahun sekaligus melayakkan graduan berkenaan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Industri) dari UTM dan juga Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari) daripada Universiti of Kent.

Program bersifat global ini bertujuan untuk melahirkan siswazah yang berkualiti serta menepati permintaan industri serta meningkatkan profil UTM di peringkat antarabangsa.

Sementara itu Law ketika diwawancara menasihatkan rakan-rakan yang masih menuntut agar mengambil semua peluang yang ditawarkan untuk masa depan yang lebih cerah.

“Pendedahan itu amat perlu dalam dunia pekerjaan pada zaman digital ini. Tanpa pendedahan yang sewajarnya amat susah untuk anda menentukan prospek kerjaya yang bakal anda ceburi.

“Sewaktu mengikuti program ini di United Kingdom saya mendapat pendedahan sewajarnya berkenaan dengan bidang Sains Aktuari dengan pengkhususan terhadap kewangan, insuran dan juga perniagaan,” katanya lagi.

Menghuraikan mengenai bidang yang diikutinya Law berkata Sains Aktuari ialah satu disiplin yang menggunakan kaedah matematik dan statistik untuk menilai risiko dalam industri kewangan dan insurans.

“Aktuari ialah pakar perdagangan profesional yang prihatin dengan reka bentuk program insurans, pencen dan kewangan.

Melalui aplikasi kebarangkalian statistik, teori risiko dan prinsip kewangan, aktuari boleh menganggar risiko masa depan yang berkaitan dengan program insurans, anuiti dan pencen,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, untuk mencapai semua ini, seorang aktuari mesti terlebih dahulu mengumpul dan menganalisis data untuk membentuk model matematik. Model kebarangkalian sakit, kematian, kemalangan dan sebagainya serta jadual kebarangkalian pengangguran dan sebagainya dibangunkan.

Selepas semua kebarangkalian dan kos syarikat dikira, aktuari boleh menetapkan harga premium yang akan memenuhi keperluan pembayaran faedah insurans yang dijangkakan.

“Anggaran dan reka bentuk aktuari adalah tulang belakang industri insurans dan keselamatan kewangan.

Kerja aktuari melibatkan banyak matematik, seorang aktuari juga mesti sentiasa mengikuti perkembangan isu dan trend semasa dalam perdagangan, sains sosial, undang-undang dan ekonomi,” tambahnya lagi.

Explore More