Pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) memainkan peranan penting dalam memajukan sesebuah negara, terutamanya dalam era Revolusi Industri 4.0. Di Malaysia, usaha untuk memperkasakan pendidikan STEM semakin giat dijalankan bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi global. Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, turut memainkan peranan signifikan dalam inisiatif ini.
Inisiatif Kerajaan dalam Memperkasakan Pendidikan STEM
Kerajaan Malaysia telah dan terus mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang STEM. Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mencadangkan agar 70% pelajar baharu di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) memilih aliran STEM mulai tahun hadapan [1]. Langkah ini bertujuan menampung keperluan tenaga kerja dalam bidang berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang.
Statistik menunjukkan peningkatan dalam pendaftaran pelajar ke aliran STEM. Berdasarkan laporan berita The Star bertarikh 16 Julai 2024, pada tahun 2024 sebanyak 50.83% pelajar mendaftar dalam aliran STEM, meningkat daripada 41.84% pada tahun 2019 [2]. Peningkatan ini mencerminkan adanya keberhasilan usaha yang dijalankan oleh pihak Kerajaan melalui pelbagai Kementerian, khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta pelbagai pihak lain seperti institusi pendidikan tinggi dan badan bukan kerajaan yang bertiwikrama menjayakan agenda STEM negara.
STEM dan Pembelajaran Dunia Sebenar
Namun, masih terdapat cabaran untuk mencapai nisbah sasaran 60:40 antara pelajar STEM dan bukan STEM. Antara cabarannya termasuk persepsi bahawa bidang STEM sukar dan kurang menarik. Kajian yang dijalankan oleh Markula dan Aksela tahun 2022 [3] mengenai pembelajaran berasaskan projek STEM menunjukkan bahawa, pelajar akan dapat memahami isi kandungan subjek STEM dengan lebih baik apabila mereka mempelajarinya dalam konteks dunia sebenar. Ini juga boleh disebutkan sebagai pembelajaran kontekstual.
Prinsip utama pendekatan STEM itu sendiri merujuk kepada penggunaan strategi pengajaran yang menghubungkan pelajar dengan dunia sebenar, selain kerangka pendidikan STEM masa kini sudah mula memberikan penekanan terhadap aspek kerjaya bidang STEM, khasnya kajian yang dijalankan oleh sarjana Pendidikan STEM di Amerika Syarikat, Gillian Roehrig dan rakan-rakan pada tahun 2021 [4].
Peranan UTM dalam Menjayakan Pendidikan STEM Negara
Peranan institusi pendidikan tinggi seperti UTM penting dalam bersama-sama menjayakan agenda STEM negara. Sebagai sebuah universiti berteraskan teknologi dan kejuruteraan, komitmen UTM terhadap Pendidikan STEM diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif strategik. Antara usaha tersebut termasuk program khidmat masyarakat yang memupuk minat pelajar terhadap STEM. Sebagai contoh, UTM melalui Kolej Siswa Jaya, Fakulti Kecerdasan Buatan, Pejabat Kelestarian Kampus UTMKL, dan pihak industri, Thete Edge Berhad telah menjalankan program di Sekolah Kebangsaan Lemoi pada 21 Mei hingga 23 Mei 2024, untuk memupuk minat murid-murid Orang Asli ke arah pendidikan yang lebih menyeronokkan dan merapatkan jurang dalam ilmu teknologi dan STEM antara pelajar bandar dan luar bandar [5].
Selain itu, UTM dengan kerjasama Yayasan James Dyson (JDF), Pusat Pendidikan Kejuruteraan UTM (UTM CEE), Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) UTM dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah menganjurkan bengkel bertemakan E-STEM (Kelestarian – Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) pada 24 dan 25 Februari 2025 yang bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM serta melahirkan lebih ramai jurutera dalam kalangan pelajar sekolah [6].
Fakulti Sains UTM juga berperanan dalam menjayakan Pendidikan STEM melalui penganjuran Karnival Kimia Malaysia Johor pada 26 Oktober 2024. Karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kimia dalam kehidupan seharian dan menggalakkan minat dalam bidang sains dalam kalangan pelajar sekolah menengah [7].
Langkah Ke Hadapan – Penubuhan Pusat STEM di Selatan Tanah Air dan Kerjasama Strategik Rentas Sektor
Dalam usaha memperkukuhkan lagi pendidikan STEM, UTM akan mengambil inisiatif terbaharu dengan menubuhkan Pusat STEM di selatan Semenanjung Malaysia. Pusat ini berfungsi sebagai hub untuk aktiviti berkaitan STEM, termasuk penyelidikan, latihan guru, dan program kesedaran awam. Penubuhan pusat ini diharapkan dapat meningkatkan minat dan penyertaan pelajar dalam bidang STEM, terutamanya di kawasan selatan tanah air.
Kerjasama antara universiti, industri, dan kerajaan perlu diperkukuhkan untuk menyediakan peluang pembelajaran STEM yang lebih praktikal dan berorientasikan industri. Melalui Pusat STEM berkenaan, pelbagai inisiatif strategik boleh dijalankan seperti penyelidikan rentas sektor khasnya akademia-industri-komuniti-kerajaan, dan penganjuran seminar serta bengkel dapat memberikan pendedahan kepada guru dan pelajar mengenai aplikasi sebenar ilmu STEM dalam industri dan komuniti.
Pendidikan STEM adalah kunci kepada pembangunan negara yang berdaya saing dalam era teknologi ini. Inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang STEM, disokong oleh usaha institusi seperti UTM, adalah langkah positif ke arah mencapai matlamat tersebut. Dengan kerjasama strategik semua pihak, cabaran dalam memperkasakan pendidikan STEM dapat diatasi, seterusnya melahirkan generasi yang kompeten dan inovatif dalam bidang sains dan teknologi.
Bacaan lanjut:
[3] https://diser.springeropen.com/articles/10.1186/s43031-021-00042-x
[4] https://diser.springeropen.com/articles/10.1186/s43031-021-00041-y
[6] https://news.utm.my/ms/2025/03/utm-jdf-bantu-jpnj-tingkat-stem-melalui-pembelajaran-ai/