JOHOR BAHRU, 15 Mac – Majlis Iftar Perdana yang berlangsung di Masjid Sultan Ismail, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, berjaya menghimpunkan lebih 700 hadirin dalam suasana penuh kemesraan dan kesyukuran. Program ini dianjurkan oleh Majlis Felow Kolej Tun Fatimah (KTF) UTM dengan kerjasama Pusat Islam UTM serta mendapat sokongan penuh daripada ADABI yang memainkan peranan penting dalam penyediaan hidangan berbuka puasa.
Sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan semangat kebersamaan di bulan Ramadan, ADABI telah menyumbangkan sepenuhnya bahan-bahan masakan seperti beras, rempah ratus, pes masakan serta keperluan asas lain bagi memastikan juadah berbuka yang disediakan bukan sahaja lazat tetapi juga mengekalkan rasa asli dan tradisional. Dengan adanya kerjasama ini, pihak penganjur dapat menyediakan hidangan berbuka dalam skala besar sekali gus memberi manfaat kepada warga UTM tanpa sebarang bayaran.

Persediaan memasak bermula seawal jam 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang, melibatkan tenaga kerja daripada ahli Majlis Felow KTF dan staf ADABI. Sesi gotong-royong ini bukan sahaja memupuk nilai kebersamaan, malah memberikan pengalaman berharga dalam menguruskan penyediaan makanan dalam jumlah yang besar. Menurut salah seorang peserta, pengalaman bekerjasama dengan ADABI dalam penyediaan makanan memberikan pelajaran bermakna mengenai kerja berpasukan dan kepentingan menyumbang kepada masyarakat.

Sebelum berbuka, majlis diserikan dengan bacaan Al-Quran oleh wakil Teknohafiz UTM, diikuti dengan ketibaan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat serta Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Che Yaacob. Dalam suasana yang penuh mesra, mereka beramah mesra dengan para hadirin dan menyampaikan cenderahati kepada wakil ADABI sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan penglibatan mereka dalam menjayakan program ini.

Dalam ucapannya, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat menekankan kepentingan hubungan erat antara institusi pendidikan dan industri dalam melaksanakan program kemasyarakatan. “Kerjasama seperti ini harus diteruskan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga mengukuhkan jalinan hubungan antara pihak universiti dan syarikat korporat,” katanya.
Tepat jam 7.20 petang, para hadirin menikmati juadah berbuka dalam suasana penuh kesyukuran. Majlis ini dianggap satu kejayaan besar, bukan sahaja dari segi kehadiran yang menggalakkan tetapi juga dalam memperkukuh semangat kebersamaan dan ukhuwah dalam kalangan komuniti UTM.
Pihak penganjur mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya ADABI atas kesudian mereka menyumbang dalam penyediaan makanan bagi menjayakan majlis ini. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak penglibatan daripada pelbagai pihak demi manfaat bersama. Semangat kebersamaan dan nilai murni dalam bulan Ramadan terus terpahat melalui program seperti ini.

