Februari 19, 2025

WhatsApp Image at

MPP UTM sesi 2024/2025 komited jayakan agenda kelestarian

JOHOR BAHRU, 31 Jan – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi 2024/25 yang baru dilantik komited dalam menjayakan agenda kelestarian di peringkat kampus agar faedah dapat dirasai oleh semua warga mahasiswa universiti.

Menjelaskan perkara ini, Ketua Jabatan Kelestarian MPP UTM 2024/25, Nur Aisy Yasmin Mohd Fathil berkata wakil pihaknya telah menggariskan beberapa perancangan menarik bagi menjayakan agenda berkenaan.

“Hala tuju kami untuk sesi 2024/2025 adalah untuk terus mempromosikan amalan kelestarian yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti kampus.

“Kami akan menumpukan usaha kepada pemeliharaan alam sekitar, pembangunan infrastruktur yang mesra alam dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai pentingnya kelestarian dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Nur Aisy berkata demikian sewaktu sesi wawancara dengan Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS) sempena perlantikan MPP UTM sesi 2024/2025.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan projek-projek yang dijalankan memberi kesan positif kepada semua pihak di kampus dengan fokus utama kami dalam aspek pengurusan sisa, mengurangkan penggunaan plastik dan meningkatkan penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai aktiviti.

“Kami juga akan memastikan projek-projek kami sejajar dengan visi universiti serta menyokong pembangunan yang lestari,” katanya lagi.

Mengulas mengenai projek yang sedang dilaksanakan, Nur Aisy berkata pihaknya akan memberikan penekanan terhadap projek ‘Connectivity’ seperti pembangunan laluan pejalan kaki dan basikal yang lebih selamat.

“Ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup yang lebih aktif dan lestari, selain mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor di kampus yang boleh meningkatkan pencemaran.

“Kami juga menyokong penuh cadangan supaya pihak universiti menyediakan skuter elektrik sebagai alternatif pengangkutan yang mesra alam. Dengan adanya kemudahan ini, pelajar dapat bergerak lebih cepat dan efisien di sekitar kampus sambil mengurangkan kesesakan lalulintas dan pencemaran udara,” katanya.

MPP UTM 2024/25 juga bakal mencadangkan supaya dianjurkan program Minggu Adab bertujuan untuk menggalakkan pelajar dan warga kampus mengamalkan adab yang baik dalam setiap interaksi.

“Sepanjang minggu ini, kami akan memberi penekanan kepada adab dalam berkomunikasi, menjaga alam sekitar dan berperilaku dengan sopan di ruang awam. Kami percaya bahawa adab yang baik dapat membentuk persekitaran kampus yang lebih harmoni dan professional,” katanya lagi.

Mengulas mengenai inisiatif lain yang bakal diperkenalkan, Nur Aisy berkata pihaknya sudah pun membuat perancangan tentang penganjuran beberapa aktiviti lain yang menjurus kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang lebih mampan.

“Selain projek ‘Connectivity’ dan Program Minggu Adab, kami juga merancang beberapa inisiatif lain seperti EcoVision’25 iaitu satu program gotong-royong untuk membersihkan kawasan kampus dan kempen kesedaran penjimatan air dan elektrik.

“Kami ingin mengajak pelajar untuk lebih bertanggungjawab dalam penggunaan sumber, supaya kita semua dapat mengurangkan pembaziran dan memastikan kampus kita lebih hijau dan efisien,” katanya.

Nur Aisy berkata pihaknya juga akan menumpukan usaha kepada kempen pengurangan sisa dan penambahbaikan kawasan hijau di kampus.

“Semua inisiatif ini adalah untuk memastikan kampus UTM kekal sebagai contoh dalam amalan kelestarian yang lebih holistik,” katanya mengakhiri perbualan.

Projek ‘Connectivity’ adalah selaras dengan SDG ke-11, Masyarakat dan Bandaraya Lestari manakala Program Minggu Adab pula selaras dengan SDG ke-4, Kualiti Pendidikan serta program EcoVision 2025 pula tertakhluk kepada SDG ke-6, Air Bersih dan Sanitasi serta SDG ke-7, Tenaga Bersih dan Mampu Milik.

WhatsApp Image at
Ketua Jabatan Kelestarian MPP UTM 2024/25, Nur Aisy Yasmin Mohd Fathil menunjukkan laluan pejalan kaki yang sedang dalam pembinaan berhampiran dengan Blok Fakulti Kejuruteraan Awam
WhatsApp Image at ()
Nur Aisy sedang melihat sebuah jambatan yang sedang dibina berhampiran dengan FKA, UTM Johor Bahru
WhatsApp Image at
Sebuah Jambatan yang sedang dalam pembinaan dalam kawasan UTM Johor Bahru (berhampiran Fakulti Kejuruteraan Awam).  Jambatan ini bakal memberikan kemudahan bagi pejalan kaki untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lainnya

Explore More