April 30, 2025

feature ss

Smart Saku Kolej Tun Razak bimbing mahasiswa urus kewangan

JOHOR BAHRU, 11 Jan – Program Smart Saku telah diadakan pada 11 Januari 2025 bertempat di Kolej Tun Razak (KTR) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Malayan Banking Berhad (Maybank). Program ini dihadiri oleh mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang bijak.

Program ini dianjurkan oleh Exco Kebajikan Pelajar, Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) KTR sebagai inisiatif membantu mahasiswa mengurus kewangan mereka dengan lebih sistematik. Dengan peningkatan kos sara hidup dan cabaran kewangan yang dihadapi oleh mahasiswa, program ini memberi pendedahan mengenai teknik menyusun bajet, mengurus perbelanjaan, memahami asas percukaian serta menabung secara efektif.

Sepanjang program, pihak dari LHDN, PKPJ dan Maybank berkongsi ilmu berkaitan pengurusan kewangan yang relevan kepada mahasiswa. Penceramah dari LHDN menerangkan tentang kepentingan kesedaran cukai, tanggungjawab sebagai pembayar cukai serta insentif dan pelepasan cukai yang boleh dimanfaatkan oleh golongan muda. PKPJ pula memberi pendedahan mengenai perancangan kewangan perumahan, termasuk strategi pembelian rumah pertama, skim perumahan mampu milik dan pengurusan pinjaman perumahan.

ceramah pkpj
Smart Housing Talk bersama Muhammad Rashidi Mansor, Ketua Pengurusan Sumber Manusia PKPJ
ceramah lhdn
Smart Tax Talk bersama Mohamad Nor Halim, pegawai LHDN Bahagian Pendidikan Cukai

Sementara itu, wakil dari Maybank berkongsi tentang pengurusan akaun bank, teknik menabung serta penggunaan perkhidmatan perbankan digital bagi memudahkan transaksi kewangan harian. Selain itu, sesi Smart Credit Forum oleh wakil Maybank turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai pengurusan kad kredit secara berhemah, termasuk cara mengelakkan hutang berlebihan serta kepentingan pembayaran balik yang teratur.

forum maybank
Smart Credit Forum bersama moderator Khairunnisa Ramlee (kanan), Panel 1 Ahmad Basyeer Mazlan, Pegawai Tadbir Kewangan JTNCPI (tengah) dan Panel 2 Noraini Kasim, Penolong Pengurus Jualan & Pemasaran Maybank Universiti (kiri)

Selain ceramah, program ini turut menampilkan bengkel interaktif yang membolehkan peserta menyusun bajet mereka berdasarkan senario kehidupan sebenar. Aktiviti simulasi pengurusan kewangan juga dijalankan bagi memberi pengalaman praktikal kepada peserta dalam mengendalikan kewangan peribadi dengan lebih cekap.

Menurut pengarah program, Chua Shang Yeet, program ini sangat membantu dalam merancang kewangan. Saya tidak pernah tahu bahawa terdapat begitu banyak insentif cukai dan skim perumahan yang boleh dimanfaatkan oleh golongan muda. Program ini memberi pendedahan yang jelas tentang pengurusan kewangan dan menabung secara bijak. Kami berharap ia dapat diteruskan dengan lebih banyak perkongsian bermanfaat pada masa akan datang, katanya.

Dengan penganjuran Program Smart Saku, mahasiswa UTM memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam mengenai pengurusan kewangan yang sistematik dan bijak. Inisiatif ini bukan sahaja membantu dalam menyusun bajet dan menabung, malah memberi pendedahan awal mengenai aspek percukaian dan perancangan kewangan jangka panjang. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan mahasiswa yang celik kewangan serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Explore More