Januari 23, 2025

WhatsApp Image at

Sakura × Hibiscus promosi budaya Malaysia kepada pelajar Jepun

JOHOR BAHRU, 16 Jan. – Dalam usaha mempromosikan keindahan dan kepelbagaian tradisi Malaysia kepada dunia, Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) dengan kerjasama UTM International telah menganjurkan program Sakura × Hibiscus, yang berlangsung selama dua hari di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini melibatkan seramai lima orang peserta dari Kyushu Institute of Technology, Jepun.

Pengarah program, Nur Marliessa Amanie Amir Fawzi, menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk memberikan pengalaman yang bermakna kepada peserta yang berasal dari Jepun dalam mengenali budaya dan tradisi Malaysia yang pelbagai. “Kami ingin memperkenal tradisi tanah air kepada mereka supaya mereka dapat membawa pulang kenangan yang indah serta memahami keunikan budaya kita di samping menjalin persahabatan baru secara global,” katanya.

Pada hari pertama, program ini dimulakan dengan memperkenalkan kepada para peserta tentang makanan Malaysia yang ikonik. Para peserta dijamu dengan hidangan seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik. Para peserta Jepun dilihat teruja menikmati hidangan yang disediakan. Aktiviti ini bukan sahaja mempromosikan tentang makanan tempatan, tetapi juga menjadi ruang interaksi budaya antara peserta.

Pendedahan makanan ikonik tempatan kepada para peserta
Pendedahan makanan ikonik tempatan kepada para peserta

Aktiviti kedua pula adalah perkongsian asas bahasa kebangsaan  iaitu Bahasa Melayu yang dikendalikan oleh Nur Imanina Ashmadi dengan bantuan barisan JKP KTHO. Aktiviti ini memfokuskan kepada asas penggunaan Bahasa Melayu yang sering digunakan dalam perbualan harian dengan betul dan tepat. Antara frasa yang diajar adalah seperti ‘Apa khabar?’, ‘terima kasih’ dan lain-lain. Aktiviti interaktif seperti permainan “Radio Rosak” turut menjadi tumpuan, mencetuskan gelak tawa dan mengukuhkan semangat persahabatan antara pelajar dari dua buah negara ini.

Perkongsian asas Bahasa Melayu bersama Saudari Nur Nur Imanina Binti Ashmadi
Perkongsian asas bahasa Melayu bersama Nur Imanina Ashmadi

Seterusnya, aktiviti ketiga diteruskan dengan pendedahan permainan tradisional. Para peserta diberikan penerangan dan peluang untuk bermain permainan tradisional iaitu batu seremban dan congkak. Semua yang hadir ketika ini dilihat sangat seronok dan gembira ketika bermain permainan tradisional tersebut. Hal ini sekali gus merealisasikan impian JKP KTHO untuk memperkenal tradisi yang ada di Malaysia secara global.

Pada hari kedua, program ini diteruskan lagi dengan aktiviti keempat iaitu lawatan sambil belajar di Kilang Pemprosesan Makanan Sawari, Kota Tinggi. Lawatan ini memfokuskan tentang aplikasi ilmu kejuruteraan kimia serta memberikan pendedahan kepada para peserta tentang prosedur pembuatan makanan iaitu tauhu. Kemudian, program diteruskan dengan memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali buah-buahan tropika seperti durian, rambutan, dan manggis yang sukar untuk didapati di negara mereka.

Lawatan sambil belajar di Kilang Pemprosesan Makanan Sawari
Lawatan sambil belajar di Kilang Pemprosesan Makanan Sawari
Perkongsian buah-buahan tempatan bersama Assoc. Prof. Dr. Norahim Ibrahim
Perkongsian buah-buahan tempatan bersama Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim

Program ini diakhiri dengan sesi pendedahan alat muzik tradisional, iaitu gamelan bersama Kelab Gamelan Alunan Sari (GASARI) UTM. Para peserta diberikan peluang untuk mempelajari beberapa alat muzik gamelan dan menyaksikan persembahan yang telah disediakan oleh para pelajar dari Kelab GASARI UTM. Persembahan ini memberikan gambaran tentang keindahan seni tradisional Melayu, yang berjaya memikat hati para peserta.

Menurut salah seorang peserta Jepun, program ini sangat menginspirasikan dan menyeronokkan. “Kami berasa seronok dapat menjalin hubungan baik dengan para pelajar dari Malaysia. Kami juga akan menerima dengan tangan yang terbuka jika anda berhasrat untuk berkunjung ke Jepun,” katanya lagi.

Salah seorang peserta Jepun sedang belajar cara untuk bermain Saron
Salah seorang peserta Jepun sedang belajar cara untuk bermain Saron

Dengan kejayaan program ini, JKP KTHO berharap dapat terus memperkenal keunggulan kepelbagaian tradisi Malaysia di peringkat global, di samping mengeratkan hubungan antarabangsa melalui lebih banyak aktiviti pertukaran budaya seperti ini. Program Sakura x Hibiscus ini bukan sahaja mempromosikan budaya Malaysia tetapi juga mengukuhkan persahabatan antara dua negara.

Oleh Nazhatul Aida Qysteena Rosli, Nurul Amelyawati Ali Rofiq dan Norahim Ibrahim

Explore More