PASIR MAS, 6 Dis. – Sukarelawan Skuad Ihsan Madani UTM giat melakukan kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru dan Surau Az-Zakirin, Pasir Mas, Kelantan.
Misi yang dilaksanakan dengan kekuatan 64 orang sukarelawan UTM merangkumi aktiviti pembersihan dan penyelenggaraan kawasan sekitar sekolah termasuklah dewan, bilik darjah, kantin, dan makmal komputer selain kerja pelupusan sisa pepejal, perabot, dan karpet yang rosak.
Sementara itu, kerja pembersihan di Surau Az-Zakirin melibatkan bahagian dalam dan luar surau yang terjejas akibat banjir. Misi sukarelawan ini turut dibantu oleh guru sekolah dan penduduk kampung dalam usaha memulihkan dan memperbaiki kemudahan di kawasan tersebut. Penyerahan barangan sumbangan kepada penduduk kampung turut dilakukan sewaktu misi ini.
Skuad Ihsan Madani UTM dilihat terus komited dalam misi kemanusiaan selain mempamerkan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam membantu masyarakat yang terkesan.