Dalam kembara kehidupan yang dipenuhi duri dan liku, pemikiran positif adalah sinar harapan yang menyuluh kegelapan. Ia adalah nadi kekuatan dalaman yang mengatasi batas fizikal dan emosi, menjadi pemangkin kepada kecemerlangan insan.
Pemikiran positif bukan sekadar alat psikologi, tetapi satu falsafah hidup yang berpaksikan ajaran Islam. Ia mengingatkan kita bahawa Allah SWT tidak akan membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dalam Islam, ia diterjemahkan sebagai keimanan yang mendalam, usaha yang tidak berputus asa dan doa yang menjadi senjata jiwa.
Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pemikiran positif telah lama menjadi budaya yang subur mendasari setiap langkah warganya. Warga UTM sama ada pelajar, pensyarah atau pentadbir sentiasa berhadapan dengan cabaran besar dalam penyelidikan, pengajaran dan pembangunan masyarakat. Namun, keupayaan untuk memusatkan minda kepada perkara-perkara yang baik telah membawa nama UTM ke puncak kecemerlangan di persada dunia.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5-6: “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” Ayat ini menjadi penyuluh kepada warga UTM untuk terus melangkah meskipun menghadapi badai dan gelora.
Sebenarnya, kaedah berfikir secara positif bermula dengan kepercayaan kepada diri sendiri. Kita perlu yakin kepada potensi diri yang mana ia adalah asas utama untuk mengatasi rintangan. Keyakinan ini apabila digandingkan dengan tawakal menjadikan individu lebih teguh dan resilient.
Namun, sebagai manusia, kita sering terjerat dalam perangkap pemikiran negatif. Di sinilah peranan penegasan yang positif. Maka, ulanglah kata-kata seperti “Saya mampu,” atau “Allah sentiasa bersama saya.” Penegasan ini akan membangkitkan semangat dan memberi kekuatan kepada jiwa yang lelah.
Individu yang hebat adalah mereka yang mampu membayangkan kejayaan dengan jelas. Visualisasi ini bukan sahaja meningkatkan motivasi tetapi juga membina minda yang fokus. Dalam Islam, doa yang disertai niat yang jelas adalah satu bentuk visualisasi yang mana kita meminta kepada Allah dengan gambaran yang spesifik tentang apa yang diinginkan.
Matlamat yang jelas mencetuskan usaha yang gigih, menghilangkan ketakutan dan kebimbangan yang sering menjadi penghalang kepada kemajuan. Zikir seperti “Hasbiyallahu la ilaha illa huwa” adalah perisai yang menenangkan hati dan memberikan keberanian untuk melangkah lebih jauh.
Pemikiran positif bukan sekadar ucapan. Ia adalah elemen yang perlu dilatih, dihidupkan dan dibudayakan. Setiap cabaran dilihat sebagai peluang untuk belajar dan setiap nikmat dihargai dengan rasa syukur. Apabila kesemua elemen ini disinergi, ia bukan sahaja mencambahkan pemikiran yang sihat tetapi juga menjamin kesihatan mental yang lebih baik.
Kajian moden menunjukkan bahawa individu yang optimis lebih cenderung untuk pulih daripada tekanan mental dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. Kegagalan adalah fitrah kehidupan. Namun, ia bukan penamat tetapi permulaan kepada langkah yang lebih besar.
Dalam Islam, kegagalan dilihat sebagai ujian keimanan dan peluang untuk memperbaiki diri. Sabda Rasulullah SAW: “Dan jika engkau ditimpa sesuatu kesusahan, janganlah berkata: Jika aku melakukan begini, pasti akan begini. Tetapi katakanlah: Allah telah mentakdirkannya, dan apa yang dikehendaki-Nya pasti berlaku.” Kata-kata ini mengingatkan kita bahawa setiap kejayaan memerlukan kesabaran dan keyakinan kepada qada’ dan qadar Allah.
Pemikiran positif tidak bermakna tanpa tindakan. Ia harus menjadi pemangkin kepada langkah proaktif dan usaha berterusan. Warga UTM telah membuktikan hal ini melalui pencapaian yang hebat dalam inovasi, penyelidikan dan sumbangan kepada masyarakat.
Kejayaan UTM adalah bukti bahawa pemikiran positif apabila digabungkan dengan kerja keras mampu memberi impak besar kepada dunia. Impak pemikiran positif tidak hanya mempengaruhi individu tetapi juga mencipta kesan berganda dalam institusi dan komuniti. Warga UTM telah menyemai budaya ini membawa manfaat yang melangkaui sempadan universiti. Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain.” Pemikiran positif yang dibudayakan di UTM bukan sahaja memajukan institusi tetapi juga memberi inspirasi kepada masyarakat untuk membina kehidupan yang lebih bermakna.
Akhirnya, perlu difahami bahawa pemikiran positif adalah nadi kepada setiap kecemerlangan. Dalam Islam, ia adalah manifestasi daripada keimanan, syukur dan usaha yang tidak pernah putus. Warga UTM telah menunjukkan bahawa dengan pemikiran positif, cabaran dapat diubah menjadi peluang dan impian dapat direalisasikan.
Marilah kita jadikan pemikiran positif sebagai asas kehidupan kerana dengannya kita tidak hanya menjadi individu yang cemerlang tetapi juga pencetus kepada ummah yang unggul. Dengan sinar pemikiran positif, kita mampu menyalakan obor kejayaan yang bukan sahaja menerangi jalan tetapi juga menjadi panduan kepada insan lain untuk terus melangkah ke arah kecemerlangan.