Disember 16, 2024

Search
Close this search box.
DSC

Delegasi MPKu lawati UTM pelajari transformasi sisa kepada sumber bernilai

JOHOR BAHRU, 12 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan seramai 25 orang delegasi dari Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dalam usaha memperkukuh kerjasama ke arah kelestarian alam sekitar. Lawatan yang berfokus kepada perbincangan dan perkongsian ilmu berkaitan program Waste to Wealth merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Johor Bersih yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengurusan sisa yang mampan dan transformasi sisa kepada sumber bernilai.

Rombongan MPKu telah diberikan taklimat mendalam oleh Pengarah Pelestarian Kampus (UTMCS), Prof. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din, yang menerangkan pelbagai inisiatif lestari yang sedang dilaksanakan di kampus UTM. Turut menyambut delegasi ialah Dekan Fakulti Pengurusan, Prof. Dr. Ahmad Jusoh dan juga Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengurusan, Dr. Nor Zafir Md. Salleh selaku Penyelaras Lawatan.

DSC
Dari kiri, Prof. Dr. Ahmad Jusoh, Dekan Fakulti Pengurusan; Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din, Pengarah UTMCS; dan Hjh. Nurul Nadia Ab Azis, Ahli Majlis MPKu

Delegasi MPKu diketuai oleh Hjh. Nurul Nadia Ab Azis, Ahli Majlis Zon Hutan Bandar Putra, bersama wakil pengurusan MPKu, SWCorp serta wakil komuniti dari Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Sri Putra, Pangsapuri Temenggong dan Pangsapuri Rakyat Jalan Cengal. Dr. Nor Zafir yang ditemui selepas sesi lawatan itu berkata delegasi pelawat itu telah dibawa melawat ke tiga lokasi utama UTM yang memaparkan aplikasi praktikal pengurusan sisa dan transformasi sisa kepada nilai baharu iaitu UTM Ecopark, Makmal Biokompos T02 Fakulti Sains dan juga Dusun UTM.

“Sewaktu sesi lawatan para perserta telah ditunjukkan berkenaan dengan amalan kelestarian dalam pertanian (penggunaan sistem hirdoponik DFT) di UTM Ecopark oleh Prof. Madya Dr Zarina Muis dan Prof. Madya Dr. Alafiza Mohd Yunus. Seterusnya Dr. Huszalina Hussin memberikan pendedahan berkaitan dengan penghasilan baja organik dari sisa makanan menggunakan mesin yang dicipta oleh penyelidik UTM.  Delegasi juga dibawa melawat Projek Kejiranan Hijau Iskandar Puteri di Fakulti Sains, Bangunan T02.

DSC
Prof. Madya Dr. Alafiza Mohd Yunus (dua kiri) memberikan penerangan mengenai kaedah pembajaan tanaman hidroponik
DSC
Prof. Madya Dr. Zarina Muis (tengah)  menerangkan mengenai amalan kelestarian dalam pertanian (penggunaan sistem hirdoponik DFT) di UTM Ecopark kepada Hjh. Nurul Nadia Ab Azis (kiri)
DSC
Dr. Huszalina Hussin memberikan pendedahan berkaitan dengan penghasilan baja organik dari sisa makanan menggunakan mesin pengisar yang dicipta oleh penyelidik UTM

“Delegasi juga diberikan penerangan mengenai inovasi baja kompos organik dalam pendekatan pertanian mampan oleh Prof Madya Dr. Norahim Ibrahim, ketua penyelidik Living Lab Agrotani di Dusun Agrotani UTM,” katanya lagi.

Lawatan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada Program Komuniti Lestari Sejati Madani yang sedang diusahakan oleh penduduk Bandar Putra, Kulai dan sebagai sebuah model kerjasama antara institusi pendidikan dan komuniti setempat.

“Dengan sokongan padu dari pelbagai pihak, termasuk komuniti tempatan, inisiatif ini berpotensi membawa impak yang signifikan kepada kesejahteraan alam sekitar dan masyarakat,” katanya lagi.

DSC

Peserta delegasi begambar kenangan selepas menyertai lawatan ke Makmal Biokompos T02 Fakulti Sains

Explore More