📝 Ringkasan

Program Nusa Johor telah berjaya memperkukuhkan kolaborasi antarabangsa menerusi jalinan komuniti di Pasir Gudang. Program khidmat komuniti enam hari ini melibatkan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia dalam pelbagai aktiviti impak tinggi. Inisiatif ini berjaya mengeratkan hubungan, memupuk pertukaran ilmu, dan memberi impak positif jangka panjang kepada komuniti setempat.

PASIR GUDANG, 11 Feb – Program Nusa Johor atau Nusantara Sejahtera Johor telah melabuhkan tirainya menerusi Majlis Perasmian Penutupan yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Haji Azizul Bachok di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor.

Majlis tersebut menandakan berakhirnya program khidmat komuniti yang berlangsung selama enam hari, bermula 6 hingga 11 Februari 2026, dengan pelbagai pengisian berimpak tinggi melibatkan mahasiswa dan masyarakat setempat.

Tetamu kehormat yang hadir pada Majlis Penutupan Program Nusa Johor di Sekolah Kebangsaan Tanjung Langsat

Program anjuran Kelab Lambaian Masyarakat (KLM), Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini dilaksanakan dengan kolaborasi strategik bersama Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia menerusi program Belajar Bersama Komunitas (BBK) Antarabangsa. Seramai 30 pelajar UNAIR berganding bahu bersama 15 pelajar UTM dalam menjayakan inisiatif ini sebagai platform pembelajaran berasaskan komuniti dan pengantarabangsaan mahasiswa.

Sepanjang berada di Kampung Tanjung Langsat, para peserta telah dibahagikan kepada sembilan keluarga angkat. Pendekatan ini memberi peluang kepada mahasiswa merasai pengalaman tinggal bersama komuniti setempat, sekali gus mengeratkan hubungan dan memahami kehidupan masyarakat kampung secara lebih dekat.

Program ini dimulakan dengan Majlis Perasmian pada 6 Februari yang telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat. Perasmian tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda kesukarelawanan, pembangunan mahasiswa dan jaringan antarabangsa.

Prof. Ts. Dr. Ali Selamat turut bersama semasa Majlis Perasmian Program Nusa Johor di Dewan Banquet UTM

Sepanjang enam hari pelaksanaan, pelbagai aktiviti telah dijalankan meliputi aspek kesihatan, ekonomi, kelestarian alam sekitar, pendidikan dan kebudayaan. Antaranya termasuk pemeriksaan kesihatan percuma serta program keusahawanan Digital Brand yang memberi pendedahan kepada peniaga kampung mengenai penggunaan aplikasi TikTok bagi mempromosikan produk dan makanan mereka secara lebih efektif melalui platform digital.

Sebagai langkah proaktif melestarikan alam sekitar, para peserta bersama komuniti setempat telah menanam pokok bakau bagi memelihara keseimbangan ekosistem pesisir demi generasi akan datang. Program ini turut diisi dengan aktiviti kerohanian melalui bacaan tahlil serta penyampaian sumbangan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang disokong oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dengan pemberian 40 bakul kasih di Masjid Kampung Tanjung Langsat. Selain itu, bengkel anyaman ketupat dan demonstrasi masakan tradisional turut dianjurkan bagi memartabatkan warisan tempatan.

Di peringkat sekolah, pengisian pendidikan merangkumi modul Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), asas pengekodan, sesi motivasi Dare to Dream serta kesihatan pergigian untuk murid prasekolah hingga Tahun Enam. Bagi memupuk semangat kerjasama, aktiviti gotong-royong membersihkan balai raya dan gelanggang futsal turut dilaksanakan, sekali gus menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar dan penduduk.

Barisan guru dan kru program bergambar bersama sempena pelaksanaan aktiviti pendidikan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Langsat

Selaras dengan aspirasi Bangsa Johor Bahagia (BJB), Program Nusa Johor turut menjadi platform perkongsian budaya antara mahasiswa UTM dan UNAIR. Antaranya termasuk aktiviti pembelajaran seni kompang yang dikendalikan oleh penduduk kampung, membolehkan peserta menghayati irama dan lagu tradisional Johor yang sering dimainkan di Kampung Tanjung Langsat.

Melalui penglibatan dalam aktiviti komuniti, kebudayaan dan kehidupan bersama keluarga angkat, para peserta berpeluang memahami adat, tradisi serta keunikan masyarakat Johor secara lebih mendalam.

Aktiviti penanaman pokok bakau di kawasan pesisir dengan penyertaan aktif mahasiswa dan komuniti setempat

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara UTM dan UNAIR, malah membuktikan bahawa kolaborasi antarabangsa yang strategik dan berterusan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lestari. Inisiatif ini turut meningkatkan pertukaran ilmu dan kepakaran antara mahasiswa dan masyarakat, sekali gus memberi impak jangka panjang yang signifikan kepada komuniti setempat.

Pelaksanaan program ini juga penting dalam menekankan kolaborasi antarabangsa bersama masyarakat desa sebagai antara teras pemerkasaan komuniti dan pengantarabangsaan universiti. Diharapkan usaha seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan demi melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan cakna terhadap keperluan masyarakat.

Explore More

UTM Open Day