📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan Projek Pasar Malam Hijau Dikuasakan ‘Power Inverter’ 2.0 untuk menggantikan generator petrol konvensional dengan sumber tenaga yang lebih bersih. Inisiatif ini bermatlamat mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran bunyi, serta memberi latihan teknikal kepada peniaga mengenai penggunaan teknologi ini.
ISKANDAR PUTERI, 14 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan komuniti mampan melalui pelaksanaan Projek Pasar Malam Hijau Dikuasakan ‘Power Inverter’ 2.0. Inisiatif teknologi hijau ini diterajui oleh Dr. Nur Faizal Kasri dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTM di bawah tajaan geran Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 5.0.
Projek ini memfokuskan penggantian generator petrol konvensional dengan penggunaan power inverter sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih bersih, senyap dan mesra alam. Inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan pelepasan karbon serta pencemaran bunyi di kawasan niaga awam, sekali gus menyokong agenda bandar rendah karbon dan kelestarian komuniti setempat.
Program Penyerahan Power Inverter telah diadakan di Dataran Niaga Taman Pulai Indah bagi menyerahkan peranti tersebut secara simbolik kepada peniaga terpilih. Program ini bertujuan memperkenalkan, mempromosikan dan menggalakkan penggunaan teknologi yang telah dibangunkan kepada komuniti setempat. Jawatankuasa pelaksana turut melibatkan wakil daripada tiga universiti, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekali gus memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi dalam menjayakan agenda teknologi hijau dan pembangunan komuniti. Antara wakil yang terlibat termasuk Ts. Dr. Zatul Iffah Abd Latiff dan Aznilinda Zainuddin dari UiTM serta Dr. Muhammad Hafiz Jahare dari UIAM.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar, Datuk Haji Pandak Ahmad, dan turut dihadiri oleh Ahli Majlis Zon 1 Pulai Indah, Mohd Nobli Mohd Nassir serta Ketua Kampung Melayu Kangkar Pulai, Mohd Farizul Mohd Hairi.
Turut hadir barisan kepimpinan FKE UTM yang terdiri daripada Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan FKE, Prof. Dr. Syed Abdul Rahman Syed Abu Bakar serta Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Prof. Madya Ts. Dr. Shahrin Md Ayob. Kerjasama erat antara UTM dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pembangunan mampan di peringkat komuniti.


Selain majlis simbolik penyerahan, program ini turut menampilkan sesi pemindahan ilmu yang diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Aizat Azmi dari UTM bersama Ts. Dr. Zatul Iffah Abd Latiff dari UiTM dengan penglibatan pelajar FKE UTM. Dalam sesi tersebut, para peniaga di Dataran Niaga Taman Pulai Indah diberikan latihan teknikal secara langsung mengenai kaedah penggunaan, penyelenggaraan serta langkah keselamatan dalam mengendalikan sistem power inverter.
Menurut Muhammad Amirul Afiq Mohd Fared, pelajar Tahun Tiga Program Kejuruteraan Elektronik FKE UTM, penyertaan dalam program pemindahan ilmu ini memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada pelajar. Ilmu teori yang dipelajari di dalam kelas dapat diaplikasikan secara langsung dalam situasi sebenar. Selain itu, program ini turut meningkatkan kemahiran komunikasi dan penyampaian maklumat teknikal berkaitan sistem power inverter kepada komuniti setempat, di samping membina keyakinan diri serta memperkukuh kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.


Secara keseluruhannya, Projek Pasar Malam Hijau Dikuasakan ‘Power Inverter’ 2.0 bukan sahaja memperkenalkan inovasi teknologi hijau kepada komuniti, malah menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi peniaga kecil melalui pengurangan kos operasi jangka panjang serta peningkatan imej perniagaan yang lebih mesra alam. Melalui gabungan kajian lapangan, pembangunan teknologi dan pemindahan ilmu kepada komuniti, UTM terus membuktikan peranannya sebagai institusi yang menterjemahkan kepakaran akademik kepada penyelesaian praktikal yang memberi impak langsung kepada masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
