Disember 19, 2024

Hadiah Akademik

UGS perkenal dua Hadiah Akademik baharu di MK68

JOHOR BAHRU, 17 Nov – Buat julung kalinya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) telah memperkenalkan 2 kategori Hadiah Akademik bagi Majlis Konvokesyen ke-68 (MK68) iaitu Anugerah Cemerlang Profesor Emerita Datuk Dr. Asma binti Ismail dan Anugerah Graduan Khidmat Masyarakat. Kriteria pemilihan calon adalah berdasarkan kepada pencapaian akademik, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum dan juga aktiviti akademik sama ada penglibatan di peringkat fakulti, universiti, negeri dan juga di peringkat antarabangsa.

Bagi Anugerah Cemerlang Profesor Emerita Datuk Dr. Asma binti Ismail, penajaan hadiah akademik diterima daripada tokoh terkemuka, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma binti Ismail untuk dianugerahkan kepada graduan cemerlang dalam setiap lapangan aktiviti dalam tempoh pengajian di UTM. Beliau merupakan merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah UTM yang baharu dilantik pada tahun ini. Beliau dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa atas ketokohan, kepimpinan dan sumbangan beliau dalam kemajuan ekosistem pendidikan tinggi, penyelidikan bioteknologi perubatan berimpak tinggi dan pejuang perubahan dasar dan tadbir urus Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Penerima anugerah ini, Insp. Ks. Insyirah Ash’ari, merupakan graduan dalam bidang Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Kimia) Dengan Kepujian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.88. Beliau terbukti cemerlang di dalam bidang akademik dan bergiat aktif di dalam aktiviti bidang akademik dan ko-kurikulum. Beliau menerima wang tunai RM3,000 beserta sijil penghargaan dan pingat emas. Antara jawatan yang pernah disandang adalah Presiden Kelab Gerakan Pengguna Siswa bagi Sesi 22/23 & 23/24 dan Timbalan Presiden Sekretariat Rukun Negara UTM bagi sesi 22/23 & 23/24. Beliau juga telah berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (SUKSIS). Sosok belia wanita ini juga telah berjaya menggondol beberapa anugerah seperti Anugerah Khas Kecemerlangan Terbaik Prasiswazah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) 2022 dan Anugerah Penghargaan Khas di Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2022 serta merupakan Calon Akhir Ikon Siswa Johor 2022. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian di UTM dalam bidang Sarjana Pendidikan (Kimia).

INSP/KS Insyirah binti Ash'ari, penerima Anugerah Cemerlang Profesor Emerita Datuk Dr. Asma binti Ismail
INSP/KS Insyirah Ash’ari

Bagi Anugerah Graduan Khidmat Masyarakat pula ditaja oleh Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM). Anugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian luar biasa graduan yang tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga memberi sumbangan kepada masyarakat. Dua orang penerima anugerah ini adalah saudari Nadratul Huda Ahmad, graduan Sarjana Muda Sains Biologi dengan Kepujian dan saudara Syed Azli Syed Putra, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian. Kedua-dua penerima anugerah telah menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) masing-masing 3.53 dan 3.55.

Nadratul Huda binti Ahmad
Nadratul Huda Ahmad
Syed Azli bin Syed Putra
Syed Azli Syed Putra

Pengasas dan Pengerusi YBIM, Datuk Sr Rosli Atan berkata, pemberian Anugerah Graduan Masyarakat yang julung kali diperkenalkan itu bertujuan mengiktiraf sumbangan pelajar universiti awam dalam kegiatan kemasyarakatan serta berpersatuan sehingga menaikkan nama universiti ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Menurutnya, pemberian anugerah seperti ini juga diharap akan dapat melahirkan graduan berjiwa masyarakat serta generasi masa hadapan yang bersatu padu dan suka tolong menolong antara satu sama lain. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM2,500 setiap seorang berserta sijil. Lebih menarik lagi, ibu bapa graduan yang terpilih akan diberikan hadiah istimewa iaitu pakej umrah bersama YBIM tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Dengan adanya tambahan Hadiah Akademik ini, UTM berharap dapat menggalakkan lebih ramai bakal graduan untuk terus berusaha cemerlang dan menyumbang kepada masyarakat, sekali gus melahirkan generasi yang berdaya saing dan berjiwa murni.

Explore More