Disember 22, 2024

Pempengaruh media sosial bawa aura positif sepanjang pengajian di UTM

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-68, Alvina Dini Rahayu, seorang pelajar antarabangsa dari Pekanbaru, Indonesia, melakar kejayaan bukan sahaja sebagai graduan Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) Dengan Kepujian, tetapi juga sebagai pempengaruh media sosial yang memberi inspirasi kepada ramai orang.

Keputusan Alvina untuk menyambung pengajian di UTM didorong oleh reputasi universiti ini sebagai salah satu institusi pengajian tinggi terbaik di Asia Tenggara dan Asia. Selain itu, kewujudan komuniti Indonesia di UTM juga memberikan rasa kebersamaan dan membuatkan Alvina tidak pernah merasakan keseorangan. “Saya tidak pernah merasa sendiri di sini, dan keramahan  rakyat Malaysia juga menjadikan pengalaman belajar saya begitu istimewa,” katanya.

Menurut Alvina, pada awalnya, beliau menghadapi cabaran seperti perbezaan bahasa. Namun, Alvina berjaya menyesuaikan diri dengan baik dalam masa satu semester sekaligus membuktikan semangat dan keupayaannya untuk beradaptasi sebagai seorang pelajar antarabangsa.

Alvina merupakan salah seorang penerima anugerah dekan di Fakulti Pengurusan UTM
Alvina merupakan salah seorang penerima anugerah dekan di Fakulti Pengurusan UTM

Melalui akaun Instagram dan Tiktoknya, @alvinadinii, Alvina kerap berkongsi kisah kehidupannya sebagai pelajar antarabangsa di Malaysia terutamanya di UTM. Alvina sering berkongsi tentang pengalaman, tips latihan industri, tips belajar dan juga aktiviti hariannya di Malaysia, yang berjaya menarik lebih daripada 11,000 pengikut dan mencatatkan lebih 1 juta tanda suka. “Ramai pengikut saya bertanya tentang cara melanjutkan pelajaran di sini, dan saya rasa bangga dapat mempromosikan UTM kepada komuniti global,” jelas Alvina.

Selain aktif di media sosial, Alvina juga memanfaatkan minatnya terhadap kecantikan dengan menjalankan perniagaan sampingan sebagai jurusolek sambilan (MUA). Melalui usaha tambahan ini, Alvina tidak hanya menambah pendapatan tetapi juga mengembangkan bakatnya dlam bidang kecantikan sekali gus membantu ramai orang untuk tampil dengan lebih yakin. 

Pengalaman latihan industri di Legoland Malaysia dari Mac hingga Ogos 2024 menjadi salah satu pencapaian bermakna dalam perjalanan Alvina. Walaupun pada awalnya, permohonan Alvina ditolak, namun kebolehan dan pengalamannya dalam media sosial meyakinkan syarikat tersebut untuk memberikannya peluang. “Menguruskan media sosial Legoland ketika latihan industri ketika itu sangat menyeronokkan dan ia merupakan pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Alvina ketika menjalani latihan industri di Legoland
Alvina ketika menjalani latihan industri di Legoland

Bagi Alvina, menjadi pempengaruh yang berpendidikan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. “Pengalaman yang saya dapat dari pembelajaran semestinya tidak sama dengan pengalaman sebagai seorang pempengaruh.Pendidikan bukan hanya tentang ilmu yang diperolehi tetapi juga ia membentuk cara berfikir dan personaliti kita,” jelasnya. Alvina juga menyampaikan pesan kepada pelajar di luar sana yang juga ingin menjadi pempengaruh di media sosial untuk mempunyai tujuan yang jelas dan fokus pada kandungan yang dapat memberi manfaat kepada penonton. 

“Buat kandungan yang anda suka, tetapi pastikan ia sesuai, relevan dan tidak menyinggung mana-mana pihak. Yang penting, jangan takut mencuba,” 

Kejayaan Alvina sebagai pelajar dan pempengaruh media sosial adalah bukti bahawa kedua-dua dunia ini, yang seringkali dianggap sangat berbeza, sebenarnya boleh dihubungkan jika dilakukan dengan bijak. Alvina membuktikan bahawa dengan usaha dan dedikasi, kita mampu mencapai kejayaan di dalam dan luar bilik kuliah.

Alvina bersama insan tersayang
Alvina bersama insan tersayang

Explore More