Disember 22, 2024

WhatsApp Image at PM

Dalam era digital yang semakin canggih, kecerdasan buatan (AI) telah menjadi satu alat yang luar biasa, menyumbang kepada pelbagai aspek kehidupan manusia. Walaupun teknologi ini dapat melicinkan pelbagai tugasan harian, penggunaannya juga membawa cabaran dalam mengenal pasti keaslian sesuatu output yang dihasilkan. Dalam konteks gambar dan video, ia kini mampu dimanipulasi dengan teknik yang begitu halus sehingga sukar untuk dibezakan.

Sekiranya ada individu yang mendakwa rakaman video tular yang mengaitkan beliau mungkin telah dihasilkan menggunakan teknologi AI, isu seperti ini bukan sahaja menjejaskan nama baik individu terbabit tetapi turut memperlihat betapa pentingnya memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum diterima oleh masyarakat.

Memang tidak dinafikan, teknologi AI memberikan pelbagai manfaat kepada manusia. Dari kerja menganalisis data dan penghasilan imej sehinggalah kepada pengenalan suara, AI memudahkan pelaksanaan tugasan harian dengan lebih cepat dan efisien.

Malah, dalam bidang keselamatan dan kesihatan, AI memberi impak yang signifikan seperti membantu dalam pengesanan penyakit dan analisis data jenayah. Namun, kita perlu menyedari bahawa aplikasi seperti generatif AI boleh disalahgunakan untuk menghasilkan video palsu (deepfake) yang mengaburkan kebenaran.

Dalam hal ini, walaupun AI menunjukkan kepintaran yang mengagumkan, ia tetap sebuah ciptaan manusia yang bergantung kepada data dan pengetahuan yang diinputkan. AI tidak mampu melangkaui batas pengetahuan yang tersedia atau memahami konteks secara mendalam terutamanya dari segi emosi dan kehalusan pergerakan wajah manusia. Justeru, AI tidak sempurna dalam meniru ekspresi emosi yang sering kali kelihatan kaku atau tidak semula jadi dalam video yang dihasilkan.

Dalam hal mengenal pasti kepalsuan dalam video yang dijana oleh generatif AI, terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti keaslian sesuatu video yang disyaki dihasilkan oleh AI. Antaranya ialah penyelarasan bibir dan suara yang mungkin tidak serasi dalam video AI, seolah-olah menonton filem yang dialih suara. Pergerakan mata dan wajah juga boleh menjadi petanda yang mana AI sering gagal meniru kelaziman manusia seperti mengedipkan mata pada selang masa tidak tetap sewaktu berbicara.

Alat pengesan AI juga dapat digunakan untuk mengesan ketidakserasian dengan menganalisis setiap rangka secara mendalam bagi menilai perubahan mikro dalam ekspresi wajah. Tambahan pula, video yang dihasilkan oleh AI cenderung menghadapi gangguan latar dan ketidaksepadanan emosi menjadikan ekspresi yang terhasil kurang bersesuaian dengan suasana.

Mengambil contoh kes yang sedang tular adalah penting bagi pihak berkuasa menjalankan siasatan mendalam dan analisis forensik bagi menentukan kesahihan video yang disyaki palsu ini. Pendekatan menyeluruh ini harus menggabungkan keupayaan AI dalam mengesan pola teknikal dengan ketelitian manusia untuk menilai aspek emosi dan pergerakan yang halus. Analisis berteraskan AI dapat mendedahkan kejanggalan teknikal, sementara kecerdasan manusia membantu memahami konteks dan niat sebenar di sebalik sesuatu visual.

Sekiranya penularan video dalam talian dan deepfake AI terus meningkat tanpa bukti yang sahih, pemikiran masyarakat berisiko dibatasi dalam keadaan kepalsuan yang diulang akan dilihat sebagai kebenaran walaupun apa yang dilihat hanyalah manipulasi oleh AI.

Al-Quran sendiri menyeru pembebasan pemikiran yang sempit seperti firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

(Surah Al-Hujurat, 49:6)

Bersandarkan semangat “Menginovasi Penyelesaian”, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersedia menawarkan kepakaran dalam penyelidikan dan analisis teknikal bagi membantu negara dalam menghadapi cabaran ini. Dengan gabungan pengetahuan AI dan teknik forensik, UTM berhasrat menyumbang kepada usaha pengesahan maklumat bagi mengurangkan risiko manipulasi digital yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat. Sesuai dengan prinsip “Kerana Tuhan untuk Manusia,” UTM terus berpegang kepada amanah dalam memelihara ketulenan maklumat.

Explore More