Disember 19, 2024

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi saksi kepada kejayaan seorang graduan muda yang penuh inspirasi dan bertenaga, Alif Mauliddin Reza Syahrial, yang berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Seni Bina serta mendapat Anugerah Pelajaran Diraja. Namun kejayaan yang diperoleh pada hari ini tidak datang bergolek. 

Perjalanan menuntut ilmu di UTM selama lebih kurang tiga tahun penuh dengan cabaran dan pengorbanan yang mematangkan beliau.

Dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, minat Alif terhadap seni bina mula bercambah sejak di bangku sekolah menengah lagi. Selepas mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Alif memilih untuk melanjutkan pengajiannya dalam Diploma Seni Bina di Politeknik Port Dickson sebelum meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu ijazah sarjana muda di UTM.

Sepanjang tempoh pengajian di UTM, beliau pernah mewakili UTM dalam Pertandingan Malaysian Structural Steel Association (MSSA) pada tahun 2023 selain menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Kelab Arkitek di UTM. 

“Menang atau kalah bukanlah matlamat utama; yang lebih penting adalah pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang perjalanan,” menurut Alif dengan penuh rendah hati.

Disebalik pencapaian beliau yang membanggakan, Alif mengakui bahawa perjalanan menjadi seorang arkitek bukanlah mudah. Cabaran mengimbangi masa tugasan akademik, aktiviti kokurikulum dan komitmen peribadi seringkali menguji ketabahan beliau. 

“Prinsip hidup saya mudah, just do it, selagi kita mampu mengurus masa dengan baik InsyaAllah semuanya akan berjalan dengan lancar,” katanya dalam sesi temu bual.

Ketekunan Alif jelas terbukti apabila beliau kerap kali bertungkus-lumus menyiapkan tugasan yang diberikan hingga lewat malam. Studio seni bina bagaikan rumah kedua bagi Alif kerana hampir separuh daripada masanya dihabiskan di sana. Bagi Alif, setiap detik di studio adalah peluang untuk menghasilkan kerja yang terbaik dan berkualiti.

Seperti kebanyakan pelajar, Alif tidak terlepas daripada menghadapi detik-detik kejatuhan apabila keputusan akademiknya tidak mencapai seperti yang diharapkan. “Saya rasa sangat kecewa ketika itu, tapi saya anggap apa yang berlaku sebagai pembakar semangat untuk saya lebih berusaha, walaupun Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) saya sedikit jatuh namun itu bukanlah penamatnya, sentiasa ada peluang untuk bangkit semula,” ujar Alif dengan penuh keyakinan. 

Bak kata pepatah, “gagal sekali bukan bererti gagal selamanya”, Alif menjadikan setiap kegagalan sebagai batu loncatan untuk kejayaan yang lebih besar.

Detik sukar yang dialami telah membentuk beliau menjadi individu yang lebih tabah dan berdedikasi. Keazaman beliau untuk tidak berputus asa akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan apabila pada semester akhir, beliau terpilih sebagai salah seorang pelajar terbaik. Tesis yang dihasilkan telah diiktiraf menerusi anugerah Best Undergraduate Research Award di Undergraduate Research Conference (URC).

Alif bersama dengan Tan Kai Ying, juga penerima Anugerah Pelajaran Diraja

Beliau juga mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan teman-teman seperjuangan. Selain itu beliau tidak lupa untuk menghargai pensyarah-pensyarah yang menjadi tulang belakang sepanjang tempoh pengajiannya. 

“Dr. Nor Izura Tukiman dan Ar. Norshahida Azili dari antara Pensyarah FABU yang telah banyak memberikan kata-kata dorongan sehingga berjaya ke tahap ini.

Beliau turut berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di UTM dalam bidang seni bina. 

“Saya percaya selagi kita hidup, kita perlu terus belajar. Ilmu tidak akan pernah habis, dan dengan ilmu yang kita ada, kita boleh membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan diri kita,” ujar Alif dengan penuh semangat. 

Kini, sebagai seorang graduan yang bersedia melangkah ke alam kerjaya, Alif membawa bersamanya pelbagai pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang pengajiannya. Baginya, pembelajaran bukan sekadar tamat di dewan kuliah, tetapi satu perjalanan yang tiada penghujung. 

“Selagi kita ada semangat dan keinginan yang kuat, tiada impian yang mustahil untuk dicapai,” tegas Alif, yang percaya bahawa dengan kesungguhan dan kerja keras, kejayaan pasti menanti.

 

Explore More