Disember 22, 2024

Gambar Keseluruhan

UTM tingkat kesedaran kanser dan beri sumbangan kepada pesakit kronik

JOHOR BAHRU, 27 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Bahagian Pemajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP) telah berjaya melaksanakan Program Kesedaran Kanser dan Sumbangan kepada Pesakit Kanser dan Pesakit Kronik UTM bagi tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru. Ianya melibatkan penyertaan lebih 400 orang yang terdiri daripada pelajar sekolah, orang awam dan warga kampus.

Program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ts. Edy Tonnizam Mohamad. Dalam ucapannya, beliau telah menyatakan sokongan dan rasa bangga atas penganjuran program ini dan berharap ianya dapat meningkatkan kesedaran mengenai penyakit kanser dan penyakit kronik di kalangan warga kampus. Beliau turut menyeru agar setiap warga kampus sentiasa berusaha untuk mewujudkan sikap saling membantu antara satu sama lain.

Ucapan Perasmian oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad
Ucapan Perasmian oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad, TNC(P) UTM

Siti Norulhana Miskan yang merupakan pengarah program menyatakan, program ini sememangnya dirancang bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran warga UTM terhadapat penyakit kanser yang merupakan antara pembunuh utama pada masa ini, selain penyakit kronik yang lain. Beliau berharap program permulaan ini akan menjadi langkah awal UTM membantu warga kampus yang yang memerlukan bantuan terutamanya pengidap kanser dan penyakit kronik.

Sumbangan kepada pesakit kronik UTM
Sumbangan kepada pesakit kronik UTM

Bahagian Pemajuan melalui inisiatif pengwujudan Tabung Endowmen Penyakit Kanser dan Penyakit Kronik UTM telah merealisasikan sebahagian komitmennya kepada warga UTM dalam mejalankan fungsi tabung endowmen untuk membantu pengumpulan dana dan menzahirkan rasa empati membantu warga kampus yang memerlukan bantuan. Inisiatif seumpama ini bertepatan dengan hasrat universiti dalam memastikan kebajikan dan persekitaran kerja yang lebih kondusif serta kepekaan warga kampus dalam membantu rakan sekerja. Seramai 27 orang menerima sumbangan sebanyak RM1,000.00 seorang. Penerima terdiri daripada empat orang pelajar, 21 orang staf dan dua orang anak staf. Sumbangan adalah dari dana terkumpul Tabung Penyakit Kanser dan Penyakit Kronik UTM dan sumbangan umum sepanjang kempen pendanaan Program Kesedaran Kanser UTM 2024.

Ceramah Kesederan Kanser oleh Dr. Natasha Mohd Hashim, Pakar Onkologi Klinikal KPJ Abdul Samad
Ceramah Kesederan Kanser oleh Dr. Natasha Mohd Hashim, Pakar Onkologi Klinikal KPJ Abdul Samad

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang hari antaranya Ceramah Kesedaran Kanser oleh Dr. Natasha Mohd Hashim, Pakar Onkologi Klinikal KPJ Abdul Samad, Johor Bahru, serta ceramah maklumat bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Iqbal Mazihan, Unit Agihan Zakat MAINJ. Satu sesi perkongsian pengalaman oleh pejuang kanser, perawat, penjaga pesakit kanser dan pesakit kronik turut diadakan. Sesi ini menampìlkan tiga orang panel yang terdiri daripada Norazlina Md Zaid, bekas pesakit kanser dan Mohd Reduan Mohd Ariff, pesara UTM yang merupakan seorang pesakit yang masih berjuang melawan kanser serta Sazli Shafiee, mempunyai seorang anak yang perlu mendapatkan rawatan rapi sejak usia bayi lagi. Sesi ini dikendalikan oleh moderator Dr. Umar Hayat Abdul Kohar, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan UTM.

sesi perkongsian pengalaman oleh pejuang kanser dan perawat serta penjaga pesakit kanser dan pesakit kronik
Sesi perkongsian pengalaman oleh pejuang kanser dan perawat serta penjaga pesakit kanser dan pesakit kronik

Program ini juga turut menjemput rakan sinergi untuk membuka kaunter makumat dan perkhidmatan iaitu MAINJ, Hospital Pakar KPJ, Olive House, dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF). Program ini juga diserikan dengan kehadiran kunjungan seramai 37 orang pelajar dan 7 orang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Indah. Sesi derma darah yang diadakan telah mendapat sambutan memberangsangkan dengan 117 orang hadir untuk menderma darah. Harapan penganjur agar program ini dijadikan program tahunan dan mendapat kerjasama lebih ramai pihak dari semua jabatan serta persatuan UTM agar ianya dapat memberi impak kepada lebih ramai warga kampus di masa akan datang.

Lawatan ke Pameran Olive House
Lawatan ke Pameran Rakan Sinergi Olive House

Oleh Mohamad Radzi Abdul Razak dan Siti Norulhana Miskan

Explore More