JOHOR BAHRU, 8 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mengiktiraf sumbangan warga kerjanya dalam pembangunan universiti menerusi Majlis Sanjungan Budi sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas kesetiaan dan dedikasi tinggi sepanjang berkhidmat di sini.
Tahun ini menyaksikan seramai 310 penerima anugerah diraikan, termasuk 130 pesara dan bakal pesara 2024, 5 penerima Anugerah Delima (40 tahun), 31 penerima Anugerah Jasa Setia (30 tahun), dan 143 penerima Anugerah Jasa Bakti (20 tahun). Mereka menerima penghargaan istimewa daripada universiti atas khidmat bakti yang diberikan.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, dalam ucapan aluannya menyatakan setiap kejayaan sesebuah organisasi disandarkan kepada komitmen dan usaha yang tidak berbelah bahagi daripada setiap lapisan staf, sama ada staf akademik mahupun staf pengurusan.
“Anda semua adalah tulang belakang kepada kelangsungan dan kejayaan universiti ini. Tanpa sokongan padu dan usaha gigih yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan, maka pincanglah perjalanan sesebuah organisasi. UTM bertuah kerana mempunyai staf yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga komited dengan visi dan misi universiti,” ujar beliau.
Acara perasmian Majlis Sanjungan Budi ini telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UTM, Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa dalam meneruskan kelangsungan kecemerlangan sesebuah universiti seperti UTM ini, budaya menghargai antara satu dengan yang lain adalah sangat penting. Penghargaan yang diberikan kepada mereka akan menjadi batu loncatan untuk mempamerkan hasil kerja yang lebih baik pada masa akan datang.
Dato’ Mohammed Noor dalam ucapan perasmian Majlis Sanjungan Budi juga menyatakan bahawa budaya dan amalan kerja yang cemerlang perlu diteruskan malah diperkasa supaya UTM menjadi lebih lestari dan setanding dengan universiti-universiti terkemuka dunia yang lain.
“Moto keramat UTM “Kerana Tuhan untuk Manusia” cukup unik dan signifikan dalam memastikan budaya kerja seumpama ini diamalkan oleh setiap staf tanpa mengira kategori mereka, agar kita dapat mengekalkan prestasi yang cemerlang tahun demi tahun.”
Selain itu, lima penerima Anugerah Delima yang telah berkhidmat paling lama di UTM turut berkongsi rasa bangga dan gembira menabur bakti di UTM lebih 40 tahun. Penerima anugerah ini terdiri daripada Encik Fahmi Moksen, Encik Johari Haron, Encik Mazelan Tahib, Encik Zulkifli Mansor, dan Puan Naimah Mohamed.
Encik Zulkifli Mansor, salah seorang penerima Anugerah Delima yang telah berkhidmat selama 40 tahun 7 bulan sejak 1984, dan bakal menamatkan kerjayanya pada 14 Disember ini, masih aktif menyumbang bakti sebagai Penolong Jurutera di Makmal Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT).
Beliau menganggap dengan melihat kejayaan para pelajar yang pernah dibimbing serta dibantu menjadi kenangan paling manis sepanjang berkhidmat di sini. Beliau turut berbangga kerana dua Naib Canselor UTM, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail juga merupakan antara bekas pelajar yang pernah menerima tunjuk ajar di makmal FKT suatu ketika dahulu.
“Kita perlu sentiasa yakin pada diri sendiri serta bekerja dengan penuh ikhlas. Setiap cabaran yang dihadapi jangan diatasi dengan emosi, sebaliknya, amalkan budi bicara yang baik dan hormat-menghormati sesama manusia. Dengan sikap yang sopan dan ikhlas, orang lain akan menghormati kita di mana sahaja. Bekerjalah dengan jujur, Insya-Allah, segala urusan akan dipermudahkan dan lebih teratur.”
Turut hadir, Ahli Parlimen Sri Gading, YB Tuan Haji Aminolhuda Hassan; Yang Dipertua Persatuan Pesara UTM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Darus; Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pesara UTM, Haji Mohd Salleh Mohamed; dan wakil pesara, Prof. Dr. Naomie Salim.