Disember 22, 2024

WhatsApp Image at

UTM perkukuh pengurusan KKP melalui lawatan penanda aras ke UNITEN dan UTP

JOHOR BAHRU, 19 Okt – Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalankan lawatan penanda aras ke Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kampus Putrajaya pada 17 Oktober 2024 dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Seri Iskandar, Perak pada 18 Oktober 2024. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serta meningkatkan kualiti pengurusan KKP di UTM melalui perkongsian amalan terbaik dengan kedua-dua institusi tersebut.

Sebagai salah satu komponen utama dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif, Pejabat OSHE sentiasa mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan tugas-tugas penting seperti penasihatan, promosi, pemeriksaan, pemantauan dan penyiasatan. Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan OSHE UTM untuk menimba pengetahuan baharu, khususnya dalam aspek perancangan program KKP dan amalan terbaik yang diamalkan di UNITEN dan UTP.

Pemilihan UNITEN dan UTP sebagai destinasi lawatan adalah berikutan reputasi mereka sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa. UTP mengamalkan standard KKP yang tinggi yang diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada UTM untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang ini manakala UNITEN dipilih sebagai destinasi lawatan berdasarkan rekod pencapaian dan amalan terbaiknya dalam pengurusan KKP. Melalui lawatan ini, pihak UTM berpeluang mendapatkan perspektif baharu serta mempelajari pelaksanaan sistem pintar yang digunakan UNITEN, seterusnya dapat memacu penambahbaikan berterusan di UTM.

WhatsApp Image at
Deligasi lawatan dari UTM bergambar di perpustakaan UTP

Antara aspek utama yang ditekankan dalam lawatan ini ialah penggunaan teknologi digital dan sistem pintar dalam pengurusan KKP. UTM melihat UNITEN sebagai model terbaik dalam penggunaan teknologi ini dan berharap dapat mengadaptasi pendekatan serupa bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan yang ditetapkan.

WhatsApp Image at
Deligasi lawatan yang terdiri daripada staf Pejabat OSHE Seksyen Pembangunan, dan Seksyen Fasiliti dan Infrastruktur ketika taklimat dan sesi perkongsian bersama pihak OSHE UNITEN

Lawatan ini diakhiri dengan sesi perkongsian maklumat antara kedua-dua pihak, di mana wakil daripada UNITEN berkongsi pengalaman dan cabaran dalam melaksanakan sistem pintar KKP. Pihak UTM pula menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama strategik dalam masa akan datang, sekali gus memastikan hubungan yang terjalin dapat memberi impak positif kepada kedua-dua institusi.

Lawatan ini turut memberi ruang kepada kedua-dua universiti untuk berkongsi amalan terbaik yang telah dilaksanakan di institusi masing-masing. Pihak UTP telah berkongsi pengalaman mereka dalam mengaplikasikan teknologi terkini untuk memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan dan kesihatan yang ketat, termasuk program KKP yang dilaksanakan adalah pengurusan loji kumbahan, penggunaan sistem digital bagi memantau dan melaporkan isu-isu keselamatan di kampus dan pengurusan sisa buangan terjadual.

WhatsApp Image at
Lawatan ke stor penyimpanan sisa buangan terjadual di UTP

Lawatan penanda aras ke UNITEN dan UTP ini telah berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan, iaitu memperkukuh hubungan kerja dan kerjasama dalam bidang KKP antara kedua-dua institusi. Perkongsian maklumat dan amalan terbaik dari UTP juga boleh dijadikan rujukan oleh UTM bagi meningkatkan lagi sistem pengurusan KKP.

WhatsApp Image at
Sesi penyerahan cenderamata oleh pihak UTP kepada UTM

Pejabat OSHE UTM berharap agar lawatan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, bukan sahaja sebagai usaha untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu, tetapi juga sebagai langkah penting dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UTM sentiasa berada pada tahap terbaik. Dengan kerjasama strategik seperti ini, UTM yakin dapat terus menjayakan inovasi dalam bidang KKP, seterusnya menjamin persekitaran kerja yang lebih selamat dan produktif untuk semua warga universiti.

Explore More