Disember 22, 2024

UTM perkasa kompetensi digital komuniti Yayasan Masjid Al-Jawahir

JOHOR BAHRU, 5 Okt – Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Yayasan Masjid Al-Jawahir telah berjaya melaksanakan Program Pemindahan Ilmu (KTP) melalui siri bengkel pembangunan laman web menggunakan WordPress. Program ini bertujuan memperkasakan Yayasan Masjid Al-Jawahir dengan kemahiran pengurusan laman web dan menyediakan sistem digital yang memudahkan urusan dalam talian seperti pengurusan sumbangan tabung masjid dan pemantauan kewangan.

Bengkel yang diketuai oleh Pensyarah Kanan di Fakulti Komputeran UTM, Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar, berlangsung dalam empat sesi yang dijalankan pada 19 Julai serta 10, 17 dan 23 Ogos 2024. Setiap sesi memberikan peluang kepada para peserta untuk mendalami ilmu pengurusan laman web serta berlatih menggunakan WordPress sebagai platform utama.

Bengkel WordPress Sesi pertama dan kedua yang diadakan di MP2, N28A, Fakulti Komputeran
Bersama peserta sesi pertama dan kedua

Sesi bengkel melibatkan beberapa tenaga pengajar yang terdiri daripada Dr. Ahmad Najmi sebagai penceramah utama, dibantu oleh fasilitator Muhammad Danial Ahmad Syahir dan Yong Wern Jie. Setiap sesi dimulakan dengan pengenalan kepada asas pembangunan laman web seperti konsep domain, hosting, dan cara penggunaan WordPress. Peserta juga diajar menggunakan plugin penting seperti WooCommerce untuk sumbangan dalam talian, Google Analytics, dan pelbagai alatan lain untuk memperkayakan laman web mereka.

Pada sesi akhir yang dijalankan pada 23 Ogos, bengkel “Latihan Jurulatih” (ToT) diadakan dengan tujuan untuk melatih beberapa peserta terpilih agar mereka dapat mengajar kakitangan masjid lain tentang pengurusan laman web. Seramai lima peserta yang mengikuti sesi-sesi sebelumnya terlibat dalam latihan ini, menjadikan mereka berkemampuan untuk berkongsi pengetahuan dengan komuniti yang lebih luas.

Peserta Bengkel Pembangunan Laman Web anjuran Yayasan Masjid Al-Jawahir
Kursus pembangunan laman web yang diketuai oleh peserta bengkel sesi kedua

Program ini mencapai kemuncaknya pada 5 Oktober 2024 melalui majlis penyerahan akhir laman web yang berlangsung di Perpustakaan Masjid Al-Jawahir. Dr. Ahmad Najmi menyampaikan panduan terperinci kepada pihak yayasan tentang pengurusan laman web, cara log masuk, mengurus pos, pengemaskinian maklumat, serta sistem pembayaran tabung secara dalam talian. Program penyerahan ini turut dihadiri oleh wakil-wakil projek termasuk Prof. Madya Dr. Azurah A Samah, Ts. Dr. Sarina Sulaiman, Dr. Aryati Bakri, dan Dr. Farkhana Muchtar. Pengerusi Yayasan Masjid Al-Jawahir, Ustaz Haji Anuar Sarimin, turut hadir dalam majlis ini.

Bengkel Penyerahan Laman Web Masjid Al-Jawahir

Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), yang diwakili oleh Md Yani Kasiren, hadir untuk memantau pelaksanaan dan penutupan program ini. CCIN turut memainkan peranan penting dalam menyokong program ini melalui sumbangan dana sebanyak RM5,000.00, yang memungkinkan pelaksanaan program dengan lancar dan berkualiti.

Program Pemindahan Ilmu ini bukan sahaja berjaya meningkatkan literasi digital dalam kalangan ahli yayasan tetapi juga membolehkan mereka mengurus laman web secara berdikari. Hasil daripada program ini, laman web Yayasan Masjid Al-Jawahir kini berfungsi sebagai platform yang lebih interaktif dan mesra pengguna, memudahkan komuniti untuk menyumbang serta berkomunikasi dengan masjid.

Program ini diharapkan dapat dijadikan contoh bagi inisiatif serupa pada masa akan datang, memandangkan impaknya yang positif dalam memperkasakan komuniti setempat melalui teknologi digital. Ketua Projek, Dr. Ahmad Najmi, menyatakan harapannya agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat terus dimanfaatkan oleh pihak yayasan, bukan sahaja dalam pengurusan laman web tetapi juga dalam usaha digitalisasi yayasan secara menyeluruh.

Dengan kerjasama erat antara UTM dan Yayasan Masjid Al-Jawahir, program ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam menyediakan kemahiran teknologi yang diperlukan bagi komuniti untuk kekal relevan dalam era digital.

Explore More