November 23, 2024

Search
Close this search box.
Picture

UTM disaran rancang strategi bagi kelangsungan pendidikan tinggi masa hadapan

JOHOR BAHRU, 28 Okt – Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) (JTNCAA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program syarahan kepimpinan bertajuk “Kelangsungan Pengajaran dan Pembelajaran untuk Pendidikan Tinggi pada Masa Hadapan”. Perkongsian ini disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan berkualiti dan menggalakkan kerjasama antara pendidik, pembuat dasar, dan pemimpin institusi pendidikan tinggi. Ia juga menyediakan platform untuk membincangkan strategi inovatif bagi menghadapi cabaran dalam landskap pendidikan tinggi Malaysia.

Picture
Barisan pengurusan tertinggi yang hadir bersama Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran (tengah)

Program yang diadakan di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru ini dihadiri seramai 211 orang peserta dari kampus UTM Johor Bahru, Pagoh dan Kuala Lumpur. Program ini turut disertai oleh beberapa ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, dekan-dekan, timbalan dekan, pentadbir akademik fakulti, staf akademik serta staf pengurusan dan profesional.

Picture
Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran (tengah) bersama Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim (empat dari kanan) serta sebahagian dekan, staf akademik dan pentadbir

Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar menekankan kepentingan pendidikan tinggi berkualiti dalam membentuk masa depan negara. Beliau turut membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh institusi pendidikan tinggi dalam era digital dan globalisasi, serta menekankan pentingnya inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan kelangsungan dan relevansi pendidikan tinggi.

Beliau juga menyarankan beberapa langkah strategik untuk menjadikan UTM sebagai universiti terkemuka. Antara intipati saranannya termasuklah memberi tumpuan kepada penyelidikan yang memberikan impak besar kepada masyarakat, negara, dan dunia, demi meletakkan institusi ini dalam pengiktirafan global. Di samping itu, UTM disarankan menyediakan perkhidmatan perundingan yang berkesan untuk menyokong pembangunan negara, kemampanan industri, dan kesejahteraan masyarakat.

Selain itu, UTM perlu memberi nilai tambah kepada persekitaran dan kehidupan masyarakat setempat melalui penghasilan produk dan teknologi inovatif. Adalah penting untuk melahirkan graduan yang bersedia untuk kehidupan sebenar (life-ready graduates) dan memenuhi keperluan industri serta negara, melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran bertaraf dunia. UTM juga perlu mencipta nama di peringkat antarabangsa sebagai peneraju inovasi dan teknologi, memastikan ia dikenali sebagai universiti yang unggul dan berprestij.

Picture
Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar dalam sesi perkongsian

Program ini turut menyediakan sesi soal jawab di mana peserta berpeluang untuk mengajukan soalan dan berkongsi pandangan mereka mengenai isu-isu semasa dalam pendidikan tinggi. Sesi ini memberikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat lanjut dan berkongsi pengalaman mereka dalam mengatasi cabaran dalam pengajaran dan pembelajaran.

Program ini juga berhasrat untuk menggalakkan kerjasama antara pelbagai pihak dalam sektor pendidikan tinggi, termasuk pendidik, pembuat dasar, dan pemimpin institusi pendidikan tinggi. Dengan adanya kerjasama ini, kualiti pendidikan tinggi di Malaysia bukan sahaja dapat ditingkatkan, malah juga dapat memastikan bahawa ianya selari dengan keperluan industri dan masyarakat.

Explore More