November 24, 2024

Search
Close this search box.
Picture

UTM anjur OSH Day 2024: Membudayakan persekitaran kerja selamat dan sihat

JOHOR BAHRU, 15 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Day) 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Program yang bertemakan “Membudayakan Persekitaran Kerja Selamat dan Sihat” bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Induk UTM. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan membina budaya keselamatan di tempat kerja kerana persekitaran kerja yang selamat bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti, tetapi juga menunjukkan keprihatinan majikan terhadap kesejahteraan pekerja.

“Kita perlu memastikan keselamatan dan kesihatan menjadi amalan harian di tempat kerja, bukan sekadar diutamakan semasa kempen atau selepas insiden berlaku,” ujar beliau. Beliau juga menegaskan peranan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dalam memantau dan mengurangkan risiko di tempat kerja.

Program OSH Day 2024 ini turut menampilkan sesi ucaptama daripada Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Johor, Tuan Haji Jaafar Haji Leman, yang membincangkan Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022). Antara perkara penting yang diungkapkan adalah mengenai peruntukan spesifik kewajipan majikan dalam menjalankan pentaksiran risiko dan langkah kawalan risiko di tempat kerja. Ianya perlulah meliputi aspek kenal pasti bahaya, analisis dan kawalan risiko.

Ucaptama oleh Pengarah JKKP Negeri Johor, Tuan Haji Jaafar Haji Leman
Sesi lawatan di reruai pempamer daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ)

Sebanyak tiga belas agensi luar dan dalam UTM juga mengambil bahagian sebagai pempamer. Pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut terlibat dalam penyampaian ceramah berdasarkan fungsi dan skop masing-masing khususnya pemilihan kaedah penyampaian yang menarik dan lebih berinteraktif. Slot ceramah ini juga mendapat respons yang positif dan amat bermanfaat kepada peserta serta pengunjung yang hadir.

Ceramah dari wakil JBPM oleh Timbalan Penguasa Bomba I Tuan Mohd Suhaimi Abdul Jamal yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin
Ceramah dari wakil PERKESO oleh Nur Azwanah Abd Lah, Pegawai Eksekutif (Faedah)

OSH Day 2024 diakhiri dengan ucapan penutup oleh Dr. Mohd. Fa’iz Ahmad selaku Pengarah, Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM yang menzahirkan harapan agar segala ilmu dan kesedaran yang diperoleh sepanjang program ini dapat diaplikasikan oleh semua pihak bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan tempat kerja dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Explore More