Disember 22, 2024

Featured Image NewsHub

Kenaikan kos bahan mentah telah menimbulkan dilema besar bagi penternak tempatan. Setiap kali harga bahan mentah konvensional seperti soya dan bijirin meningkat, pendapatan mereka semakin terjejas, menjadikan usaha untuk terus bertahan dalam industri ternakan suatu cabaran yang berat. Dalam situasi genting ini, ramai yang tertanya-tanya — adakah solusi yang lebih mesra kos dan mampan mampu mengubah senario ini?

Menghadapi isu yang mencabar bagi penternak, Dr. Mira Panadi, pensyarah kanan di Jabatan Biosains, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berjaya memperkenalkan MoringaPro Pellet, iaitu sebuah inovasi yang berpotensi mengubah landskap industri makanan ternakan. Kejayaan ini terbukti apabila Dr. Mira meraih pingat emas di Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) UTM pada 2 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

image
Dr. Mira membahaskan mengenai keberhasilan yang diperoleh daripada inovasi yang direka

Kejayaan yang dikecapi ini menunjukkan potensi besar dalam penggunaan tumbuhan tempatan, khususnya Moringa oleifera, sebagai alternatif mampan yang berkualiti tinggi berbanding makanan ternakan konvensional berasaskan soya dan bijirin. Dengan sumber tempatan yang kaya nutrien, MoringaPro Pellet berupaya menyokong pertumbuhan dan kesihatan ternakan secara efisien serta menjimatkan kos.

Penghasilan MoringaPro Pellet ini berasaskan daun Moringa yang dijadikan sebagai sumber protein utama yang diperkaya dengan vitamin A, C, E, serta mineral penting seperti kalsium, zat besi, dan kalium. Formulasi inovatif ini menyokong kesihatan ternakan dengan hasil yang lebih baik berbanding makanan konvensional. Melalui penyelidikan yang mendalam, produk ini bukan sahaja kaya dengan nutrien, malah pemberian dalam bentuk pelet dapat mengurangkan kesan anti-nutrien daun Moringa, menjadikannya lebih berkesan dan selamat. Moringa yang dikenali sebagai daun kelor ini juga boleh dimakan oleh manusia, kerana kandungan nutrisi yang tinggi.” ujar Dr. Mira.

image
MoringaPro – inovasi berasaskan alam untuk kesihatan dan kelestarian

Kajian Dr. Mira menunjukkan bahawa pelet ini menggalakkan tumbesaran yang sihat dan meningkatkan kesihatan ternakan dalam peringkat penyelenggaraan dan seterusnya ternakan seperti kambing, terutamanya ketika kos makanan soya semakin meningkat. Selain mengurangkan kebergantungan pada makanan import yang mahal, inovasi ini membantu meningkatkan daya saing dalam industri. Pelet ini berfungsi sebagai makanan tambahan untuk ternakan setelah diberi makan rumput dan boleh terus diberi kepada haiwan ternakan, memberikan fleksibiliti kepada penternak.

MoringaPro Pellet juga menawarkan penjimatan kos makanan ternakan sehingga 72%, dengan kos bahan mentah sekitar 80-90 sen per kilogram, berbanding harga pelet komersial yang boleh mencecah RM3.50 hingga RM4.10 sekilogram. Mengutamakan bahan tempatan yang mesra alam, pelet ini bukan sahaja mengurangkan jejak karbon tetapi juga menyokong ekonomi petani tempatan. Penggunaan Moringa membantu mengurangkan pengimportan makanan ternakan, yang menyumbang kepada kelestarian persekitaran.

Penyelidikan Dr. Mira terhadap MoringaPro Pellet ini bermula pada tahun 2020 di bawah UTM Encouragement Grant. Ujian makmal dan lapangan telah dilakukan, termasuk di Taman Ekuin UTM dan ladang di Sedenak, Kulai. Pelet ini menunjukkan keberkesanan dalam membantu kuda mengekalkan berat badan, dan seterusnya menyokong pertumbuhan kambing. Respons penternak menunjukkan pelet ini memberikan kesan yang sama seperti pelet komersial tetapi dengan kos yang lebih rendah.

“Dengan penggunaan MoringaPro Pellet, kos operasi penternakan dapat dikurangkan, terutamanya dalam aspek pembelian makanan ternakan. Kos yang lebih rendah ini juga boleh menyumbang kepada penurunan harga produk seperti daging dan susu, memberi manfaat kepada penternak dan pengguna. Dengan inovasi ini, penternak mampu mengurus kewangan dengan lebih baik serta mengurangkan kebergantungan kepada makanan import,” tambah Dr. Mira.

image
Moringa, juga dikenali sebagai kelor, kaya dengan khasiat turut mewarnai landskap di Taman Ekuin UTM

Dr. Mira kini dalam proses mempatenkan MoringaPro Pellet melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk melindungi formulasi dan proses penghasilannya. Ini membuka peluang bagi pengkomersialan yang lebih luas dengan sokongan industri. Dengan bantuan dana bagi pembangunan prototaip daripada Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UTM, MoringaPro Pellet bersedia memenuhi permintaan pasaran tempatan dengan impak positif kepada industri ternakan.

Inovasi MoringaPro Pellet ini bukan sahaja menyelesaikan masalah kos makanan ternakan, tetapi juga memberikan sumbangan penting kepada kestabilan industri ternakan di Malaysia. Dengan penekanan pada bahan tempatan dan formulasi mesra nutrisi, MoringaPro menawarkan alternatif berkesan yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti ternakan tetapi juga menyokong kelestarian alam sekitar.

Kejayaan Dr. Mira membuktikan bahawa inovasi tempatan mampu membawa perubahan besar, memberi penyelesaian kepada isu yang dihadapi penternak, serta memperkukuh ekonomi negara. Sebagai alternatif mesra alam dan menjimatkan, MoringaPro Pellet adalah langkah ke hadapan bagi industri ternakan Malaysia, menyokong penternakan lestari dan memberi peluang kepada negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.

Explore More