September 17, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image

Youth Sports Leadership Programme perkasa kemahiran pengurusan sukan & semarak Merdeka

KUALA LUMPUR, 3 Sept. – Youth Sports Leadership Programme merupakan program kepimpinan sukan yang bertujuan memperkasakan bakat pengurusan sukan, teknikal kejohanan, kepimpinan, dan kesukarelawanan dalam kalangan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Program ini dianjurkan oleh Seksyen Kecemerlangan Sukan (SKS) UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama beberapa jabatan lain termasuk UTM International, Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Pekerjaan (OSHE), Pusat Kesihatan Universiti (PKU), serta Seksyen Keselamatan. Program ini berlangsung dari 29 Ogos hingga 1 September 2024 dengan penyertaan 50 orang daripada warga UTM Kuala Lumpur, termasuk 21 orang pelajar dari Sekretariat Sukan & Rekreasi (SSR), 3 orang pelajar antarabangsa, dan 26 orang staf.

Program ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti Bengkel Pengurusan dan Teknikal Kejohanan, Sambutan Ambang Kemerdekaan, pendakian Gunung Meru, sesi ramah mesra bersama Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), serta Aktiviti Khidmat Masyarakat di Taman Eko Rimba Kledang Saiong dan Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman, Perak. SSR ditubuhkan oleh SKS UTM Kuala Lumpur pada Februari 2023 dan terdiri daripada pelajar diploma dan ijazah sarjana muda. SSR berperanan membantu SKS dalam mengendalikan kejohanan, karnival, atau program sukan, baik di peringkat universiti mahupun luar universiti.

Pada 29 Ogos 2024, para peserta menghadiri Bengkel Pengurusan Sukan dan Pengendalian Teknikal Kejohanan di Bilik Ilmuan 3, Menara Razak, UTM Kuala Lumpur. Bengkel tersebut disampaikan oleh Ketua SKS, En. Nabil Hazwan Muhamad Hasim, dan Pembantu Belia dan Sukan Kanan, Pn. Siti Hanim Ishak.

Matlamat bengkel ini adalah untuk memperkasa kemahiran peserta dalam pengurusan sukan dan teknikal kejohanan, melibatkan perangkaan peraturan permainan, jadual kejohanan, carta mata kejohanan, serta promosi kejohanan. SKS berharap bengkel ini dapat meningkatkan pengetahuan pelajar dan memberi pengalaman dalam membantu kelab, persatuan, serta SKS sendiri mengendalikan kejohanan yang berprestij dan berimpak tinggi.

Bengkel Pengurusan Teknikal Kejohanan bersama Sekretariat Sukan dan Rekreasi UTM Kuala Lumpur
Bengkel Pengurusan Teknikal Kejohanan bersama Sekretariat Sukan dan Rekreasi UTM Kuala Lumpur bersama Sekskyen Kecemerlangan Sukan UTM Kuala Lumpur

Pada 30 Ogos 2024, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, berkesempatan beramah mesra bersama pelajar dan staf melalui forum bertajuk ‘Pemerkasaan Adab dalam Pembangunan Mahasiswa.’ Forum ini telah mengupas beberapa aspek merangkumi Adab Pelajar di dalam Komuniti, Adab Pelajar di dalam Platform Penggunaan Digital, Adab Pelajar semasa Pembudayaan Ilmu, Adab Pelajar di dalam Aktiviti Kokurikulum dan Adab Pelajar di dalam Pengurusan Konfik & Membuat Keputusan.

Pro-Naib Canselor juga menasihatkan para pelajar agar memegang teguh nilai teras universiti iaitu Integriti (Integrity), Sinergi (Synergy), Kecemerlangan (Excellence), dan Kelestarian (Sustainability) dalam setiap pelaksanaan tugas yang melibatkan akademik dan kokurikulum.

Sesi Ramah Mesra bersama Pro - Naib Canselor (Kampus UTMKL)
Sesi Ramah Mesra bersama Pro – Naib Canselor (Kampus UTMKL)

Aktiviti Sambutan Ambang Kemerdekaan diadakan untuk memupuk semangat kemerdekaan dan mengukuhkan ukhuwah antara pelajar baharu dan pelajar kanan. Para pelajar SSR dan antarabangsa dibahagikan kepada enam kumpulan untuk mempersembahkan tema kemerdekaan. Pada 12.00 tengah malam, Pro-Naib Canselor melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali, diikuti nyanyian lagu ‘Tanggal 31 Ogos’ oleh para peserta dan ahli jawatankuasa program. Dr. Saleem, pelajar antarabangsa dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), turut berkongsi perjalanan akademiknya sebagai pelajar PhD di UTM, yang memberi inspirasi kepada peserta untuk terus maju dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Pada 31 Ogos 2024, 38 orang pelajar dan staf UTM Kuala Lumpur berjaya menawan Gunung Meru, Perak yang berketinggian 749 meter. Pendakian ini disertai oleh Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh dan Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin Haji Abu, Pengarah Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UTM Kuala Lumpur. Aktiviti ini bertujuan mempromosikan keseimbangan antara kerja dan kehidupan seharian (work-life-balance) serta menyemarakkan semangat kemerdekaan ke-67.

Laungan MERDEKA sebanyak 7 kali oleh Pro - Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur)
Laungan MERDEKA sebanyak 7 kali oleh Pro – Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur)
Kejayaan warga UTMKL menawan puncak Gunung Meru
Kejayaan warga UTMKL menawan puncak Gunung Meru, Ipoh Perak

Program khidmat masyarakat yang dianjurkan di Taman Eko Rimba Kledang Saiong menyaksikan pelajar dan staf mengecat bebendul laluan pejalan kaki sepanjang 100 meter ke Taman Eko Rimba. Sumbangan cenderamata diberikan oleh Pengarah HEPA kepada wakil Pejabat Perhutanan Negeri Perak sebagai simbol kerjasama. Inisiatif SKS ini mampu menceriakan kawasan percutian dan kawasan alam semula jadi yang terdapat di negeri Perak.

Selain itu, UTM Kuala Lumpur juga menyumbang empat buah perabot, dua gulung tikar, dan kelengkapan harian kepada Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman, menyampaikan alatan tulis, hamper kepada 14 orang anak yatim, serta wang tunai berjumlah RM463 kepada pengurus pertubuhan kebajikan tersebut. Aktiviti khidmat masyarakat ini bertujuan menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar untuk menjadikan amalan kebajikan sebagai tradisi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Pelajar dan staf bersama - sama mengecat bebendul laluan pejalan kaki di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Perak
Pelajar dan staf bersama – sama mengecat bebendul laluan pejalan kaki di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Perak
Warga UTMKL bergambar bersama Pengurus dan Anak - Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman
Warga UTMKL bergambar bersama Pengurus dan Anak – Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman
Pemasangan Perabot oleh Pelajar - Pelajar UTM Kuala Lumpur
Pemasangan perabot oleh pelajar – pelajar UTM Kuala Lumpur di Pertubuhan Kebajikan

Pengerusi program, En. Nabil Hazwan, menyatakan bahawa Youth Sports Leadership Programme mendapat sokongan penuh daripada Pengarah HEPA, Prof Ir. Ts. Dr. Aminudin Haji Abu, dan akan diadakan setiap tahun bagi melahirkan pelajar yang berkaliber, berkepimpinan, dan berkemahiran tinggi dalam pengurusan sukan. Program ini juga selari dengan amanat Kementerian Pengajian Tinggi untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan.

Explore More