Disember 22, 2024

IMG

UTM hargai pengorbanan Wira Merah dalam memastikan UTM selamat

JOHOR BAHRU, 26 Sept – Satu majlis penghargaan Sekalung Budi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berlangsung dengan penuh penghormatan di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru pada 26 September 2024. Majlis ini bertujuan menghargai JPBM atas sumbangan mereka dalam operasi pelupusan bahan kimia yang dijalankan bermula 29 April hingga 9 Mei 2024.

Sesi bergambar antara pihak pengurusan UTM dan pegawai kanan JBPM
Sesi penandatanganan buku pelawat

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah PPjB Ts. Murugiah a/l Muthusamy, Ketua Cawangan Pengurusan Pasukan Penyelamat, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat dari JBPM Ibu Pejabat; PPjB Mohd Pisar Aziz, Pengarah dan PgB Tc. Zulkhairani Ramli dari JBPM Negeri Melaka; PgB Mohamed Faiz Muin Mohamed Rasidi dan TPgB II Mohammad Idris dari JBPM Negeri Sembilan; PgKB I Azmi Ab Rahim, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, dan PKPgB Tc. Saifulbahri Safar, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai dari JBPM Negeri Johor.

Wakil-wakkil dari UTM pula termasuk Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad; Pengerusi Bahagian Pemajuan, Prof. Dr. Yusof Boon; Pengarah Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM, Dr. Mohd. Fa’iz Ahmad; serta Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad.

Operasi ini diketuai oleh PPjB Ts. Murugiah, dibantu oleh PgB Tc. Zulkhairani Ramli serta pakar-pakar bahan berbahaya (HAZMAT) dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Anggota bomba dari BBP Skudai, Larkin, dan Iskandar Puteri juga memainkan peranan penting dalam menjayakan operasi ini.

Majlis dimulakan dengan tayangan montaj yang memaparkan detik-detik sepanjang operasi, melibatkan anggota bomba dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang bertugas dari awal hingga tamat operasi. Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada JBPM atas usaha mereka, manakala Pengarah JBPM Negeri Melaka, PPjB Mohd Pisar Aziz turut memberikan ucapan balas, menyatakan penghargaan kepada pihak UTM.

TNCP berucap ketika majlis
Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) berucap ketika majlis berlangsung
Pengarah Melaka berucap ketika majlis
PPjB Mohd Pisar Aziz, Pengarah JBPM Negeri Melaka berucap dalam majlis penghargaan

Sebagai tanda penghargaan, 11 pakar HAZMAT yang terlibat telah menerima honorium, dan tiga Balai Bomba dan Penyelamat turut menerima sumbangan honorium atas khidmat mereka. Pihak majlis juga memberikan penghargaan kepada semua staf yang bertindak sebagai ERT, khususnya dari FKM, Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), yang bekerjasama dengan JBPM sepanjang operasi.

Pusat tanggungjawab (PTJ) lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung turut diraikan, termasuk Pejabat OSHE UTM, Unit Pengurusan Bahan Kimia (CMU), Bahagian Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), serta Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP).

Susulan daripada operasi dan majlis ini, pihak UTM dan JBPM berharap dapat menjalinkan jaringan erat dalam usaha sama memastikan persekitaran kampus yang selamat dan sihat. Melalui Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, pihak JBPM menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada UTM kerana menghargai usaha mereka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh UTM. Daripada Pejabat OSHE, terima kasih diucapkan kepada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (JTNCPI) kerana menyalurkan peruntukan dana bagi menjayakan majlis penghargaan kepada JBPM bagi operasi pelupusan bahan kimia.

Penyampaian hadiah penghargaan kepada Tn Murugiah
Penyampaian hadiah penghargaan kepada PPjB Ts. Murugiah, Ketua Cawangan Pengurusan Pasukan Penyelamat, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Ibu Pejabat

Explore More