September 20, 2024

Search
Close this search box.
KM

JOHOR BAHRU, 30 Ogos – Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) dengan kerjasama Agri Season Sdn. Bhd. telah mengorak langkah dalam usaha untuk memerdekakan ikan tempatan daripada dominasi ikan invasif.

Inisiatif ini telah diterjemahkan menerusi program Kembara Merdeka Lestarikan Alam yang telah melibatkan Majlis Felow Merbauan (MAFAN) sebagai penggerak utama, diketuai oleh Pengetua KTHO, Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin. Hadir bersama dalam program ini ialah Pengasas & Pengarah Agri Season Sdn. Bhd., Ts. Dr. Teo Chee Loong.

Menerusi program ini, sebanyak 50 ekor ikan bandaraya telah ditangkap di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sepanjang Sungai Skudai.

Antara ikan bandaraya bersaiz besar yang berjaya ditangkap
Antara ikan bandaraya bersaiz besar yang berjaya ditangkap.

“Ikan bandaraya yang telah ditangkap akan dianalisis kandungannya bagi memberi gambaran sebenar akan bahaya ikan ini kepada ekosistem hidupan di sungai tempatan,” ulas Dr. Farizal.

“Di samping itu, kita juga akan menjalankan kajian dalam memanfaatkan ikan bandaraya ini untuk dijadikan baja di samping dimanfaatkan sebagai ejen pembersih lumut bagi kolam-kolam ikan tertutup.

“Di masa hadapan, kita akan memperluas jaringan kolaborasi dan kerjasama merentas agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti sekitar dalam usaha untuk memberi kesedaran di samping memperkasakan langkah menamatkan dominasi ikan invasif di sungai kita.

Sementara itu, program ini telah membuka tirai di sebelah paginya dengan perkongsian bertajuk “Spesies Invasif & Keseimbangan Ekosistem” yang telah disampaikan sendiri oleh Dr. Farizal selaku pakar rujuk bidang.

KM
Dr. Farizal membuka tirai program dengan menyampaikan perkongsian “Spesies Invasif & Keseimbangan Ekosistem”

Program turut dimeriahkan dengan pertandingan deklamasi sajak kemerdekaan, pertandingan nyanyian lagu patriotik dan pertandingan fotografi Merdeka Lestari.

KM
Antara peserta pertandingan deklamasi sajak kemerdekaan

Inisiatif murni menerusi penganjuran program ini menjadi antara langkah awal libatsama Universiti menerusi KTHO dalam usaha untuk memerdekakan ikan tempatan daripada ikan invasif.

KM

Explore More