November 22, 2024

Search
Close this search box.
konvoi

Konvoi Merdeka UTM 2024: Semarak patriotisme dan tanggungjawab sosial

JOHOR BAHRU, 15 Sept. –  Konvoi Merdeka UTM 2024, yang berlangsung pada 12 September 2024, berjaya menarik penyertaan seramai 400 peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru menuju ke Pantai Teluk Mahkota (Jason Bay), Sedili. Acara ini dianggap sebagai program terbesar sejak ia diperkenalkan pada tahun 2020.

Program yang dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, melibatkan pelbagai jenis kenderaan termasuk 53 motosikal, 43 kereta, 2 lori, 2 bas, serta 35 motosikal milik penduduk kampung. Turut menyertai acara pelepasan Konvoi Merdeka UTM 2024 bersama Datuk Ahmad Fauzi ialah Pengerusi Bahagian Pemajuan Universiti, Prof. Dr. Yusof Boon; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; serta Pengarah Seksyen Dana Endowmen UTM, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Robiah Suratman. Konvoi ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, tetapi turut berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67.

konvoi
Barisan kepimpinan UTM bergambar sempena pelepasan Konvoi Merdeka UTM 2024
konvoi
Datuk Ahmad Fauzi Ismail bersama barisan kepimpinan UTM melepaskan peserta Konvoi Merdeka UTM 2024 
konvoi
Para peserta selepas menjalankan aktiviti pembersihan pantai di Pantai Teluk Mahkota, Sedili

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk program pembersihan pantai di Pantai Teluk Mahkota, bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Selain itu, program turut melibatkan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan pelajar B40, serta aktiviti motivasi untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Datuk Ahmad Fauzi menyatakan rasa bangga dengan sambutan yang diterima daripada komuniti setempat serta warga UTM. “Acara ini bukan sahaja mencerminkan semangat patriotisme, tetapi juga menggambarkan komitmen kami dalam memupuk kesedaran sosial dan alam sekitar dalam kalangan peserta,” katanya.

Kejayaan program ini juga tidak dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada rakan strategik dari agensi luar seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi, SWM Environment Sdn. Bhd., Pejabat Penerangan Daerah Kota Tinggi, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sedili, The Johor Collection Sdn. Bhd. dan Komuniti Madani Tanjung Sedili. Program ini adalah di bawah penganjuran Seksyen Dana Endowmen UTM, beserta rakan sinergi dari jabatan-jabatan dalam UTM iaitu Bahagian Pengurusan Organisasi (BPO) UTM, Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA), UTM Marshall, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Bahagian Keselamatan, Pejabat Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE), UTM Fleet, serta Pusat Perkhidmatan Psikologi & Kaunseling UTM dan UTM Plate Owner Club (UTMPOC).

Layari laman web Endowmen UTM di: https://dvcdev.utm.my/endowmen/

Explore More