September 16, 2024

Search
Close this search box.
n

Anugerah kecemerlangan bersepadu mercu tanda kejayaan Fakulti Sains

Tradisi kecemerlangan sesebuah universiti dipacu oleh inisiatif pendidikan yang berkualiti, penyelidikan yang menerajui perubahan, serta perkhidmatan yang memberikan sumbangan bermakna kepada komuniti. Gabungan ketiga-tiga inisiatif ini memastikan universiti bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, tetapi juga pemangkin kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan inovasi yang mampu menjamin kesejahteraan masyarakat.

Dalam konteks ini, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berjaya menjadi model entiti akademik yang wajar dicontohi, hasil daripada kesepaduan tindakan dalam melahirkan graduan kompeten melalui program akademik yang berkualiti, di samping memacu inovasi penyelidikan yang relevan dengan keperluan komuniti dan industri.

Dekan
Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, Dekan Fakulti Sains

Kecemerlangan ini terserlah melalui pengiktirafan yang diterima oleh Fakulti Sains dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan & Penghargaan Citra Karisma UTM 2024. Dalam kategori anugerah utama akademik, Fakulti Sains berjaya merangkul Anugerah Kualiti Akademik UTM untuk tahun ketiga berturut-turut. Pencapaian ini mengesahkan komitmen berterusan warga fakulti dalam memastikan penyampaian perkhidmatan pendidikan dalam bidang sains asas dan gunaan serta matematik dengan piawaian berkualiti tinggi.

Kejayaan yang konsisten ini turut menonjolkan peranan penting Fakulti Sains dalam mengekalkan reputasi akademik universiti. Fakulti sentiasa menekankan pendekatan holistik dalam pengurusan program akademik dan pembangunan pelajar, dengan memberi fokus utama kepada setiap aspek operasi akademik, termasuk pembangunan kurikulum, penyampaian pembelajaran dan pengajaran, amalan pentaksiran, serta penglibatan pelajar.

Fakulti Sains juga bersedia untuk kekal relevan dalam mendepani perubahan landskap pendidikan tinggi bagi memenuhi keperluan dinamik pelajar, komuniti, dan industri. Malah, komitmen fakulti terhadap kualiti turut dicerminkan dengan menjadi entiti perintis UTM dalam memperoleh pensijilan ASEAN University Network-Quality Assurance (AUN-QA).

Selain itu, kecemerlangan Fakulti Sains turut diakui dalam aspek penyelidikan berimpak tinggi. Pensyarah dari Jabatan Kimia, Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah, telah menerima Anugerah Pencipta UTM dalam Kategori Sains & Teknologi serta Anugerah Inovasi & Pengkomersialan Produk pada majlis yang sama. Produk inovasi beliau seperti Molluscure®, Oil2Wang™, NanoBlast™ dan NemaMed™ bukan sahaja memajukan pengetahuan saintifik tetapi juga menyediakan penyelesaian praktikal kepada pelbagai cabaran.

Innovator Award
Dr. Faizuan, pemenang Anugerah Rekacipta (Kategori Sains dan Teknologi)

Kejayaan ini seiring dengan komitmen Fakulti Sains dalam menangani isu global seperti pencemaran alam sekitar, keselamatan makanan, dan kesihatan awam. Usaha menterjemahkan penyelidikan asas kepada aplikasi komersial diharapkan dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan komuniti.

Industri juga merupakan rakan strategik Fakulti dalam memperkukuh dan memperluas impak penyelidikan serta inovasi. Sehingga kini, kerjasama antara Fakulti Sains dan pihak industri membolehkan integrasi pengetahuan teori dan praktikal untuk diaplikasikan dalam menyelesaikan cabaran industri. Melalui kerjasama ini, Fakulti Sains dapat mengenal pasti keperluan sebenar industri dan seterusnya membangunkan teknologi menerusi penyelesaian saintifik untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos, serta mengekalkan kelestarian.

Misalnya, projek Sistem Penghantaran Tanpa Wayar untuk Pemantauan Portal Radiasi (MYRPM) yang dipimpin oleh pensyarah dari Jabatan Fizik, Prof. Dr. Suhairul Bin Hashim, menunjukkan bagaimana sinergi antara universiti dan industri boleh membawa kepada hasil penyelidikan yang signifikan. Dalam Majlis Citra Karisma UTM, beliau dianugerahkan Anugerah Penglibatan Industri atas sumbangan cemerlangnya dalam menjalin kerjasama strategik dengan industri.

Industry Award
Prof. Dr. Suhairul, pemenang Anugerah Keterlibatan Industri (Kategori Staf Akademik)

Kejayaan Fakulti Sains UTM bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan, tetapi juga komitmen yang kukuh dalam menjalin kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh untuk memacu kemajuan sains dan teknologi bagi kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran negara. Fakulti Sains membuktikan bahawa kesepaduan antara pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi, dan perkongsian strategik adalah kunci utama dalam mencapai kecemerlangan yang berterusan.

Tahniah kepada seluruh warga Fakulti Sains atas setiap sumbangan cemerlang yang diberikan. Semoga fakulti terus mencipta kecemerlangan dan memberi manfaat, dipandu oleh visi untuk menjadi fakulti terkemuka dalam memajukan bidang sains dan matematik, ‘Kerana Tuhan untuk manusia.’

Oleh Prof. Madya Dr. Mohd Bakri Bakar dan Dr. Mohd Firdaus Abdul Wahab

Explore More