September 18, 2024

Search
Close this search box.
teacher hd image highresolution photos

Peranan kepimpinan digital di IPT: Memanfaatkan teknologi untuk kecemerlangan

Kepimpinan digital merujuk kepada keupayaan pemimpin di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memanfaatkan teknologi dan alat digital secara strategik bagi memperbaiki dan meningkatkan proses pengurusan, pentadbiran, dan pembelajaran di  IPT (Rumeli & Md Rami, 2023). Kepimpinan digital di IPT telah mengalami perkembangan yang signifikan, mencerminkan perubahan dalam teknologi dan keperluan persekitaran akademik yang lebih moden.

Pada awal tahun 1980-an dan 1990-an, kepimpinan digital di IPT lebih tertumpu kepada pengurusan dan penyepaduan teknologi IT yang baru muncul, seperti pengkomputeran peribadi dan sistem Enterprise Resource Planning (ERP). Dengan kemunculan Internet dan ledakan platform dalam talian pada tahun 2000-an, kepimpinan digital di IPT mengalami perubahan yang ketara. IPT mula menyedari kepentingan membangunkan laman web, penglibatan dalam e-pembelajaran, dan pelaksanaan strategi pemasaran digital. Pemimpin IPT perlu berhadapan dengan cabaran dunia digital baru, mengintegrasikannya dalam model pendidikan dan memanfaatkannya dengan optimum.

Pada era tahun 2010-an,  kemunculan platform media sosial dan analisis data besar telah mengubah landskap kepimpinan digital di IPT. Media sosial menjadi alat penting dalam pengurusan dan pentadbiran, pengurusan jenama institusi, komunikasi, dan penglibatan dengan staf IPT dan pelajar (Yusoff  & Hamzah, 2023). Selain itu, keupayaan untuk menganalisis dan mentafsir data besar menjadi semakin penting. Pemimpin akademik harus memanfaatkan analisis data untuk membuat keputusan yang lebih baik, mengenal pasti trend, dan merangka inisiatif strategik.

Pada pertengahan 2010-an, konsep transformasi digital muncul sebagai tema utama dalam kepimpinan digital IPT. Ini melibatkan penyemakan semula proses, budaya, dan model perniagaan akademik untuk memanfaatkan teknologi digital dengan lebih berkesan. Pemimpin di IPT bertanggungjawab untuk membimbing institusi mereka melalui perubahan yang besar, memupuk budaya inovasi, dan menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat.

Dalam konteks IPT, kepimpinan digital melibatkan beberapa aspek utama, termasuk integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, pembuatan keputusan strategik, sokongan pembangunan profesional, pengurusan infrastruktur, penggunaan data untuk wawasan, galakan kerjasama, serta adaptabiliti dan inovasi (Mokhtar & Norman, 2023). Pemimpin IPT perlu menggalakkan budaya digital dan bijak mengatur inisiatif latihan dan kursus kepada pensyarah dan kakitangan berkaitan penggunaan alat digital, sumber interaktif dan platform dalam talian. Latihan dan kursus ini dapat meningkatkan kemahiran digital pensyarah dan kakitangan IPT serta memastikan mereka dapat memanfaatkan alat digital dan perisian pendidikan dengan berkesan (Rumeli & Md Rami, 2023).

Namun, keberkesanan pendekatan ini bergantung pada ketersediaan sumber dan kesediaan pensyarah serta kakitangan untuk menerima perubahan. Pemimpin IPT juga perlu memastikan institusi memperoleh akses kepada teknologi yang diperlukan, termasuk infrastruktur rangkaian yang stabil. Kerjasama dengan komuniti akademik melalui penerapan teknologi juga merupakan aspek penting dalam kepimpinan digital. Penggunaan platform digital untuk berkomunikasi dengan pelajar, alumni, dan pihak berkepentingan lain adalah penting untuk meningkatkan penglibatan dan maklum balas.

Secara keseluruhan, amalan kepimpinan digital dalam IPT menunjukkan peranan penting pemimpin dalam mengatasi cabaran dan memaksimumkan penggunaan teknologi untuk kecemerlangan pengurusan, pentadbiran dan pengalaman pendidikan. Walaupun berhadapan dengan cabaran sumber dan aksesibiliti, pemimpin IPT perlu terus berusaha untuk mengintegrasikan teknologi dengan cara yang menyokong kecemerlangan akademik dan pentadbiran.

Oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad dan Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari.

Rujukan:

Mokhtar, M., & Norman, H. (2023). The Role of Digital Leadership in Higher Education: Embracing Innovation and Change. Journal of Higher Education Policy and Management, 45(1), 55-71.

Rumeli, M., & Md Rami, S. (2023). Professional Development and Digital Competency for Higher Education Faculty: Opportunities and Barriers. Journal of Professional Development in Education, 44(2), 189-204.

Yusoff, Y., & Hamzah, M. (2023). Digital Leadership in Higher Education: Cultivating a Culture of Innovation and Collaboration. International Journal of Educational Management, 37(2), 312-327.

Explore More