Disember 3, 2024

Search
Close this search box.
RAMAI RAMAI

Kayuhan Merdeka CPD 2024 : Bersatu Semarak Kemerdekaan di UTM

JOHOR BAHRU, 19 Ogos – Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD), Jabatan Pendaftar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Kayuhan Merdeka 2024 dengan tema Cycling for Professional Development (CPD) pada 19 Ogos 2024 sempena bulan kemerdekaan. Program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga universiti serta memupuk kerjasama dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai keperluan pembangunan profesional dalam kalangan staf.

PELEPASAN
Pelepasan delegasi kayuhan oleh YBrs. Pendaftar UTM

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada staf CTLD dan wakil-wakil dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Fakulti Komputeran (FC), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) telah menyertai program ini. Pelepasan peserta kayuhan telah dirasmikan oleh Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah bt Ismail, yang menzahirkan harapan agar program ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kemerdekaan tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pembangunan kompetensi staf di UTM.

FABU
Sambutan meriah daripada warga FABU di Checkpoint 1
DELEGASI BERBASIKAL
Delegasi berbasikal menuju ke checkpoint berikutnya

Kayuhan ini melibatkan lima checkpoint iaitu FABU, FKA, FC, FKM, dan FKE, di mana delegasi berbasikal telah disambut dengan meriah oleh warga fakulti di setiap checkpoint. Sambutan ini menggambarkan semangat kerjasama yang tinggi antara fakulti di UTM.

FKA
Penyerahan poster dan Buku ISES kepada Dekan FKA

Dalam program julung-julung kalinya oleh pihak CTLD, Jabatan Pendaftar, Ketua Bahagian CTLD, En Khairull Azmi bin Ishak, turut menyerahkan cenderamata berupa poster penetapan kompetensi staf UTM, poster keperluan mata CPD mengikut gred, serta Buku ISES kepada wakil fakulti. Penyerahan ini bertujuan untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai keperluan CPD dan nilai teras UTM dalam kalangan staf UTM, sesuai dengan usaha universiti dalam memastikan tahap profesionalisme yang tinggi dalam kalangan staf.

FC
Pendakian penuh pancaroba menuju ke foyer FC
FKM
Penyerahan poster dan Buku ISES kepada Dekan FKM
FKE
Sesi bergambar bersama wakil pengurusan FKE

Program ini bukan sahaja menjadi wadah untuk menghayati semangat kemerdekaan tetapi juga membuktikan nilai ISES – sinergi yang tinggi antara fakulti di UTM dalam usaha meningkatkan pembangunan profesional staf. Semangat ISES yang ditunjukkan oleh para peserta dan sokongan warga fakulti menunjukkan betapa pentingnya semangat perpaduan dan kerjasama dalam mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi.

BENDERA
Kibaran Jalur Gemilang

Sila layari laman web Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan melalui https://registrar.utm.my/ctld/

Explore More